Berita

Peruntukan SPRM ditingkatkan kepada RM360 juta

- Diterbit 18 Oktober 2024 5:03 PM MYT

PERUNTUKAN kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditingkatkan kepada RM360 juta berbanding RM338 juta sebelum ini.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

“Sejak mengemudi negara, semua tahu ketegasan saya dalam soal memerangi rasuah kerana rasuah ialah barah senyap yang menjatuhkan moral rakyat dan keyakinan pelabur.

“Tidak guna ditetapkan hala tuju ekonomi dan pelbagai dasar sekiranya pelaksanaan masih ditakuk lama, salah guna kuasa, seleweng dana dan mengkayakan kelompok sendiri.

“Masa depan negara bergantung kepada kejayaan kita membanteras rasuah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya untuk SPRM menyiasat dan mengambil tindakan tegas bagi mengheret pesalah rasuah ke muka pengadilan.

“Angka menunjukkan peningkatan lebih 20 peratus penangkapan dan pembukaan kertas siasatan untuk tahun 2023 ketimbang sebelumnya,” katanya.

Beliau memberitahu, Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) telah digubal bagi
menghapus segala bentuk rasuah melalui strategi ampuh dan terperinci.

Katanya, antara ikhtiar lain yang menyusul termasuklah Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat dan RUU Perolehan Kerajaan bertujuan memperkasa tatakelola dan kecekapan perkhidmatan awam.

Katanya, Akta Audit telah dipinda untuk memberi Ketua Audit Negara kuasa menyemak dan mengaudit pengurusan dana awam termasuk syarikat yang menerima jaminan Kerajaan.

“Sejumlah RM200 juta disediakan kepada Jabatan Audit Negara, meningkat ketimbang RM173 juta. Ini sesuai dengan peranan lebih besar bagi memulakan pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat dan entiti yang menerima peruntukan dan jaminan kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas