SERAMAI 23 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, Lubnan dilaporkan selamat.
Ini susulan serangan di Beirut dan peningkatan pertempuran rentas sempadan di kawasan selatan negara itu.
Menurut Wisma Putra, pihak kementerian melalui kedutaan sedang memantau perkembangan terkini di Lubnan dengan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia di Lubnan.
“Berdasarkan rekod, terdapat 23 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan dan semuanya dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Wisma Putra menambah, sebagai langkah berjaga-jaga, kementerian menasihatkan semua rakyat Malaysia yang menetap di Lubnan supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan mereka.
“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat atau kembali ke Malaysia secara sukarela sekiranya terdapat risiko ke atas keselamatan mereka.
“Kementerian ini juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Lubnan berikutan keadaan yang tidak menentu di negara tersebut,” katanya.
Wisma Putra berkata, pihak kedutaan juga sentiasa berkomunikasi dengan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) untuk memastikan keselamatan pasukan pengaman terbabit.
Semua penempatan dan penugasan kakitangan MALBATT di Lubnan adalah berada di bawah seliaan UNIFIL. – WILAYAHKU