KERAJAAN mengambil langkah komprehensif bagi memastikan aspek pertahanan dan keselamatan negara terus terjamin dalam menghadapi ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) berkata pihaknya telah menyelaraskan pelbagai strategi termasuk pemodenan aset, pengukuhan kerjasama antarabangsa, serta peningkatan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi ancaman moden.
“Antara langkah utama yang diambil adalah penyelarasan postur pertahanan negara yang sejajar dengan dasar keselamatan serta keutamaan dasar luar.
“Ini termasuk penyesuaian strategi pertahanan untuk menangani ancaman semasa dan meningkatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan,” kata Mindef dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.
Menurut Mindef, pada masa sama, kerajaan terus memperkukuh infrastruktur pertahanan dengan pembangunan serta pemodenan kemudahan ketenteraan dan penambahan aset canggih bagi meningkatkan keupayaan ATM dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
“MINDEF turut memberi tumpuan kepada ancaman bukan tradisional seperti serangan siber, keganasan dan penyeludupan melalui lorong tikus.
“Pemantauan rapi terhadap perkembangan global dilakukan bagi memastikan strategi pertahanan negara sentiasa relevan dengan landskap keselamatan semasa,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh keselamatan serantau, Mindef berkata Malaysia aktif menyertai forum antarabangsa seperti Shangri-La Dialogue, ADMM-Plus dan FPDA (Five Power Defence Arrangements) untuk membincangkan pendekatan kolektif dalam menangani cabaran serantau.
“Penggunaan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) turut diperkenalkan bagi meningkatkan keupayaan pemantauan dan kawalan sempadan, terutama dalam menangani jenayah rentas sempadan serta pencerobohan melalui laluan haram,” katanya.
Bagi memastikan koordinasi berkesan dalam aspek keselamatan, Mindef menggalakkan kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan dan ATM menerusi operasi keselamatan bersama serta latihan intensif.
“Diplomasi pertahanan terus diperkukuh melalui penyertaan dalam forum serantau dan antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan kestabilan serantau,” katanya.
Menurut Mindef, Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memainkan peranan penting dalam menyelaras dasar keselamatan negara, memantau serta menilai ancaman keselamatan dan mengeluarkan arahan kepada agensi pelaksana bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Kerajaan juga mengamalkan Pendekatan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang melibatkan setiap entiti dalam negara bagi memastikan semua pihak menyumbang kepada usaha mempertahankan kedaulatan Malaysia.
“Dengan pelaksanaan strategi ini, Mindef berusaha memastikan keselamatan negara terus dipertahankan dalam menghadapi cabaran geopolitik yang semakin mencabar,” katanya.-WILAYAHKU