Berita

Persidangan memacu pembangunan Labuan diadakan penghujung Januari tahun depan – PM Anwar.

- Diterbit 7 Disember 2023 2:52 PM MYT

BAGI memacu dan mengangkat semula pembangunan Labuan, satu persidangan akan diadakan bagi mencari jalan penyelesaian tersebut selewat-lewatnya pada Januari atau Februari tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persidangan yang akan diadakan itu membabitkan peranan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Labuan (Labuan IBFC)Bank Negara, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Katanya, setelah beberapa tahun tiada sebarang sebarang inisiatif baharu bagi membangunkan Labuan meskipun terdapat beberapa cadangan yang dikemukakan untuk memacu ekonomi di pulau itu.

“Sekitar akhir Januari tahun hadapan, BNM, Bursa Malaysia dan SC akan mengadakan persidangan bagi mencari jalan bagaimana kita mampu mengangkat semula peranan Labuan sebagai pusat perniagaan dan kewangan tersohor di rantau ini.

“Kita mahu ada inisiatif baharu di Labuan bagi menarik lebih ramai pemain industri beroperasi di Labuan, maka ini sebabnya kita mahukan kemudahan asas di Labuan diselesaikan segera,” katanya pada Ramah Mesra YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Konyensyen Ujana Kewangan, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan akan memberi tumpuan terhadap penyelesaian masalah kemudahan asas rakyat berbanding mengutamakan projek pembangunan infrastruktur yang menelan belanja yang tinggi.

Katanya, isu pembinaan jambatan Labuan – Menumbok (Sabah) yang menelan kos lebih RM6 bilion bukan satu keperluan mendesak.

“Ada beberapa cadangan, Insya-Allah kita boleh kemukakan. Cadangan jambatan Labuan adalah cadangan lama tapi kita kena tahu kos pembinaan dalam kajian terbaharu melebihi RM6 bilion.

“Kita perlu tengok keupayaan dan jumlah peralihan penduduk dan ia tidak memungkinkan pembinaan jambatan itu ekonomik.

“Dalam rancangan pembangunan Labuan, kita mengambil langkah-langkah menyegerakan isu-isu rakyat yang penting iaitu bekalan air.

“Saya tidak boleh menerima kenyataan, memacu pembangunan ekonomi pesat dan menarik pelaburan beratus bilion ringgit tetapi masalah asas belum diselesaikan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Perbadanan Labuan Tan Sri Anifah Aman. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas