ASTRO Audio merehatkan tiga penyampai slot 3 Pagi Era iaitu Radin, Nabil Ahmad dan Azad Jasmin sehingga ke tarikh yang akan diberitahu kelak.
Dalam kenyataan dikeluarkan, Astro Audio mengambil serius insiden rakaman video membabitkan tiga penyampai itu yang tular baru-baru ini kerana didakwa mempersendakan satu upacara keagamaan.
“Astro Audio melahirkan kekesalan atas satu insiden rakaman video melibatkan penyampai kami, Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin, yang telah dikongsi di platform media sosial ERA.
“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana telah menyakiti hati dan mengecewakan hati pihak terlibat.
“Sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu berkenaan dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini,” memetik kenyataan dikeluarkan.
Dalam kenyataan sama, Astro Audio mengakui komited terhadap kepercayaan pendengar serta memastikan persekitaran media dihormati dan menyeluruh.
“Kami sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan audiens kami.
“Kami juga sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan,” ujar kenyataan iru lagi.
Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial.
Fahmi Fadzil turut meminta MCMC memanggil Astro dan pengurusan stesen radio Era FM hadir ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh.
Penyampai radio 3 Pagi Era itu bagaimanapun sudah membuat memohon maaf di atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video berkenaan yang sudah diturunkan daripada platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.-WILAYAHKU