DIANA AMIR & SABRINA SABRE
TANPA menafikan sumbang mahram turut berlaku dalam kalangan penduduk kelas atasan, namun tidak dinafikan kes tersebut kebanyakannya membabitkan keluarga yang mempunyai tahap ekonomi rendah.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohd Dino Khairri Shariffuddin berkata keadaan rumah yang sempit seperti rumah setinggan di bandar dan estet di mana kekurangan bilik tidur mengundang kepada bahana sumbang mahram.
“Secara bukti dan data adalah sukar untuk kita melabelkan sumbang mahram ini hanya berlaku dalam kalangan keluarga yang mempunyai tahap ekonomi rendah sahaja.
“Penyataan ini adalah tidak bersifat adil.
“Namun demikian perkara ini mungkin berpunca daripada keluasan rumah, berapa jumlah bilik tidur, berapa jumlah tandas di rumah, keterbatasan pergaulan, ilmu-ilmu mengenai aurat dan juga ikatan keterbukaan perbincangan sesama ahli keluarga mendorong berlakunya perlakuan tersebut,” katanya kepada Wilayahku.
Mohd Dino berkata tidak dapat dinafikan kemajuan teknologi digital yang ada kini memudahkan anak-anak mengakses apa jua bahan lucah sekali gus menyumbang kepada peningkatan jenayah seksual atau sumbang mahram.
“Bagi pandangan saya, perkara yang berlaku tetap bermula dengan diri sendiri dan juga komitmen daripada pihak ibu bapa,” katanya.
Justeru, Mohd Dino berkata sumbang mahram ini melibatkan tanggungjawab banyak pihak bukan sahaja ibu bapa tetapi diri sendiri, jiran tetangga, ketua kampung, institusi agama, sekolah dan pihak berkuasa.
“Setiap individu harus menjadi mata-mata terutamanya terhadap kanak-kanak di bawah umur,” katanya.