PRIHATIN terhadap keperluan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Labuan yang semakin meningkat, Persatuan Ann Kway menyumbangkan peralatan perubatan bernilai RM30,000.
Menurut Pengerusinya, Chuan Kim Kok, peralatan perubatan disumbangkan merupakan 10 katil, 15 unit Drip Stand, lima unit tilam angin bersama 10 set bantal.
Katanya, sumbangan ini dapat membantu pihak hospital memberikan perkhidmatan yang terbaik sekali gus memberi keselesaan kepada pesakit menerima rawatan di hospital berkenaan.
“Ini adalah program kedua, sebelum ini kami juga pernah menghulurkan sumbangan pelbagai peralatan kesihatan untuk keperluan hospital Labuan iaitu semasa berlakunya pendamik COVID 19,” katanya pada majlis penyerahan sambungan tersebut di Hospital Labuan, baru-baru ini.
Hadir sama Pengarah Hospital Labuan, Dr Adnan Musa Balidran.
Beliau berkata, program sumbangan tersebut turut disertai oleh Labuan Optic & Contact Lens, Maju Universal Engineering, Wawasan Maju Sama, Exiron Part Supply, Kedai Runcit Hong Fatt, BGG Hardware dan Yun Kwang Enterprise.
Pada majlis sama, pihaknya turut menyumbang sejumlah kotak Limau Mandarin sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan hospital yang memberikan perkhidmatan terbaik dan penuh dedikasi kepada masyarakat di pulau itu.
“Kita juga memberikan sijil penghargaan kepada lima individu banyak menderma darah untuk Tabung Hospital Labuan,”katanya.
Sementara itu, Dr Adnan menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Ann Kway diatas inisiatif murni dalam menghulurkan sumbangan kepada Hospital Labuan.
“Saya mewakili Hospital Labuan ucapkan terima kasih dan kita semua berharap dengan sumbangan peralatan perubatan ini dapat memberi manfaat kepada para pesakit khususnya masyarakat Labuan,” katanya. – WILAYAHKU