Agama

Perpecahan, semangat kesukuan bawa kehancuran

NILAI perpaduan yang digagaskan Malaysia MADANI berkonsepkan Rahmatan Lil Alamin yang menyatukan seluruh masyarakat.
- Diterbit 23 Mei 2025 10:20 PM MYT

KEJATUHAN Andalusia bukan berpunca daripada kekurangan ilmu, kekayaan atau strategi, tetapi kerana satu punca besar: perpecahan dalaman dan menebalnya semangat kesukuan.

Justeru, pendakwah bebas, Abdul Qayyum M Suhaimi menyeru agar umat Islam hari ini kembali membina kekuatan melalui perpaduan total, selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menjunjung nilai rahmah, hormat dan kesejahteraan sejagat.

Abdul Qayyum mengingatkan bahawa sejarah Andalusia sebagai pengajaran mendalam kepada masyarakat moden tentang pentingnya meninggalkan kepentingan kelompok dan menyatukan umat di atas nilai yang lebih besar ukhuwah, ta’awun dan kemanusiaan sejagat.

“Andalusia dahulu bukan sekadar tanah Islam, ia adalah pusat perkembangan ilmu sejagat, pusat melahirkan tokoh-tokoh ulung dalam dunia pendidikan, teknologi, matamatik malah kehidupan rakyatnya harmoni dan bersatu padu, selama mana umatnya bersatu.

“Tetapi saat semangat puak dan wilayah mengatasi semangat ummah, Andalusia gugur tanpa perlu diserang,” katanya kepada Wilayahku.

ABDUL QAYYUM

Abdul Qayyum menegaskan bahawa kekuatan sebenar masyarakat Islam bukan kepada bilangan atau pengaruh politik, tetapi kesatuan hati dan matlamat.

Beliau menolak keras sebarang bentuk fahaman asabiyyah atau kesetiaan kelompok yang membawa kepada pemecahan sosial dan ketegangan dalaman.

“Tiada kejayaan yang boleh dicapai jika kita masih membina tembok ‘kami’ dan ‘mereka’ dalam satu saf yang sepatutnya bersatu. Ini bukan roh Islam, dan ini bukan nilai yang Malaysia MADANI perjuangkan,” jelasnya.

Beliau turut mengajak semua pihak tanpa mengira latar belakang untuk menjadikan konsep Rahmatan Lil Alamin, keadilan dan hikmah sebagai nilai bersama yang menyatukan seluruh masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Mengangkat sirah Islam sebagai panduan, Abdul Qayyum menyebut bahawa para Khulafa’ al-Rasyidin tidak pernah memimpin dengan semangat berpuak-puak, tetapi dengan prinsip hikmah, musyawarah dan perpaduan ummah.

“Saidina Abu Bakar tidak pernah mengangkat kaum Quraisy sahaja, Saidina Umar memperluas pentadbiran merentas bangsa, dan Saidina Uthman menzahirkan perpaduan melalui pentadbiran yang inklusif. Inilah nilai kepimpinan yang membina tamadun,” katanya.

Abdul Qayyum mahu umat Islam untuk melihat perpaduan bukan sebagai pilihan politik, tetapi sebagai amanah peradaban yang harus dipelihara oleh setiap generasi.

Menurut beliau gagasan Malaysia MADANI yang diterajui negara ketika ini memberikan ruang terbaik untuk membina negara berteraskan nilai Islam universal yang menyatukan, bukan memisahkan.

“MADANI bukan sekadar slogan. Ia ajak kita bangunkan negara dengan akhlak, bukan retorik. Dengan rahmah, bukan marah. Dengan keadilan, bukan balas dendam, dan dengan perpaduan, bukan peminggiran,” tegas beliau.

Beliau turut mencadangkan agar semua institusi sosial, pendidikan dan pentadbiran negara mula memperkukuh naratif kesatuan dengan pendekatan yang memelihara hikmah dalam kepelbagaian, selari dengan semangat tamadun Islam terdahulu.

Abdul Qayyum menyatakan bahawa keagungan tidak akan kembali hanya dengan teknologi atau ekonomi, tetapi dengan jiwa yang bersatu dan nilai yang benar.

“Jadikan sejarah Andalusia itu sebagai ingatan kepada kita. Dengan meninggalkan amalan asabiyyah dan meraikan ukhuwah, ia dapat menyatukan hati semua pihak di atas nilai dan bukannya identiti kumpulan.

“Kita juga perlu membina naratif kebersamaan dalam media dan pendidikan yang mesti dimulakan oleh para pemimpin yang sekali gus menjadikan perpaduan sebagai asas pembinaan negara rahmah,” katanya.

Jelas Abdul Qayyum, Andalusia bukan sekadar sejarah, ia amaran serta juga manifestasi kepada sebuah harapan yang besar.

“Jika kita memilih untuk bersatu hari ini, kita tidak sekadar mengelakkan kehancuran tetapi sedang mencipta tamadun baru, tamadun rahmah, tamadun MADANI yang bercirikan Rahmatan Lil Alamin,” katanya. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas