Berita

Perolehan pedati emas: SPRM tahan reman pegawai khas bergelar Datuk

- Diterbit 6 Disember 2024 11:05 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai khas bergelar Datuk kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan wang kira-kira RM300,000 membabitkan pembelian pedati emas.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin membenarkan suspek direman selama enam hari sehingga 10 Disember selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an yang juga bekas Pengarah Eksekutif sebuah agensi membabitkan institusi keagamaan dipercayai melakukan perbuatan berkenaan sekitar 2019.

“Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini bersama bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap bekas Pengerusi agensi yang sama telah memperoleh wang lebih RM300,000 daripada akaun peruntukan khas agensi terbabit untuk diri mereka sendiri.

“Wang berkenaan membabitkan pembelian pedati emas daripada sebuah syarikat di luar negara yang mana kedua-duanya mempunyai kepentingan di syarikat itu selain bekas Timbalan Ketua Menteri berkenaan juga dipercayai turut menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pemberian bantuan perubatan pada 2020 sebanyak RM50,000 kepada individu yang dipercayai sekutunya,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap pegawai khas berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan kedua-dua individu yang disiasat itu kini dihalang daripada keluar negara sehingga siasatan selesai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas