Berita

Permulaan kurang baik buat Gavin di Olimpik Tokyo

GAVIN Green berkongsi kedudukan ke-57 dalam saingan 60 pemain pada pusingan pertama acara golf Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini. Gambar - Stadium Astro
- Diterbit 29 Julai 2021 2:13 PM MYT

PERMULAAN kurang baik untuk pemain negara Gavin Green apabila sekadar berkongsi kedudukan ke-57 dalam saingan 60 pemain pada pusingan pertama acara golf Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.

Pusingan pembukaan di Kasumigaseki Country Club di sini yang tertunda selama dua jam berikutan cuaca kurang baik menyaksikan pemain berusia 27 tahun negara itu menamatkan saingan berkongsi dengan pemain Taiwan Pan Cheng-tsung selepas masing-masing melakukan 74 pukulan, tiga di atas par.

Pada sembilan lubang pertama, Gavin melakukan par berturut-turut di enam lubang sebelum menjatuhkan bogey di lubang berikutnya. Bagaimanapun berjaya membenam birdie pada par-5 lubang kelapan.

Namun dalam sembilan lubang berikutnya, Gavin hanya melakukan empat bogey dan satu birdie untuk menamatkan saingan melibatkan ramai pemain ternama dengan tiga di atas par, yang mana hanya 11 pemain menamatkan saingan di atas par-71.

Gavin  menamatkan saingan di tempat ke-47 ketika acara golf kembali beraksi dalam Sukan Olimpik selepas 112 tahun di Rio 2016.

Pemain Austria Sepp Straka mempamerkan permainan hampir sempurna dengan membenam lapan birdie untuk memimpin saingan dengan 63 pukulan, lapan di bawah par untuk mengatasi dengan satu pukulan ke atas pemain Thailand, Jazz Janewattananond, yang kali pertama membuat penampilan di Olimpik.

Sementara pemain Belgium Thomas Pieters dan Carlis Ortiz dari Mexico mengekori dengan dua pukulan di belakang Sepp dengan 65 pukulan, enam di bawah par.

Pusingan kedua acara golf akan berlangsung 7.30 pagi waktu tempatan (6.30 pagi waktu Malaysia), Jumaat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas