PERMOHONAN pensijilan halal Malaysia yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) pada masa ini masih bersifat sukarela.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.
Untuk itu katanya, tidak ada undang-undang yang mewajibkan mana-mana pihak untuk memohon pensijilan halal tersebut.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September lalu bersetuju mengekalkan dasar sedia ada bahawa permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dilaksanakan JAKIM dan MAIN atau JAIN adalah bersifat sukarela.
“Dasar ini terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia serta perundangan yang berkuat kuasa.
“Malah ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang sijil melalui tahap komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sirajuddin berkata, JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri-negeri sentiasa bertindak aktif menggalakkan pengusaha memohon SPHM dan dalam masa yang sama, menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi pembimbing di peringkat Persekutuan dan negeri.
Katanya, ini adalah kerana sebagai pemegang SPHM, ia akan memberi jaminan kualiti kepada produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan dan nilai tambah kepada perniagaan dalam memperluaskan pasaran.
“Berhubung dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewajibkan pengusaha premis makanan dan minuman memiliki SPHM adalah antara usaha promosi bagi meningkatkan bilangan pemegang SPHM di bawah pentadbiran PBT berkenaan.]
“Dalam masa yang sama JAKIM berharap agar penjelasan yang tuntas dan menyeluruh dapat diberikan oleh PBT berkaitan pelaksanaan dasar baharu ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengusaha dan orang ramai,” tambahnya. – WILAYAHKU