Berita

Perluas jaringan kaunseling di peringkat global

- Diterbit 25 Februari 2025 5:34 PM MYT

PENGANJURAN Persidangan Kaunseling Sedunia 2025 selaras dengan hasrat Kementerian untuk memperluas jaringan profesionalisme kaunseling di peringkat global.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, persidangan kali pertama ini telah menghimpunkan profesional kaunseling, pendidik, penyelidik dan pelajar.

“Bagi membincangkan isu, perkembangan dan penyelidikan terkini dalam bidang kaunseling.

“Ia juga merupakan satu platform bagi para akademik, kaunselor dan ahli psikoterapi mendapatkan pendedahan tentang ilmu selain memperkukuhkan jaringan hubungan sedia ada dan membina rangkaian baru dengan pakar bidang dari dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambahnya persidangan ini telah disertai seramai 401 peserta dengan kehadiran secara fizikal dan dalam talian.
“Terdapat enam panel dan lima peserta antarabangsa menyertai persidangan secara dalam talian. Negara yang hadir adalah delegasi dari Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Arab Saudi, Amerika Syarikat, Maldives, United Kingdom, Hong Kong dan China.

“Tema persidangan ‘New Horizons in Counselling Practices: Navigating Social, Psychological and Technological Challenges’ dipilih bagi mencerminkan landskap kaunseling yang berkembang sebagai tindak balas kepada cabaran dan peluang dinamik yang ditimbulkan oleh masyarakat kontemporari.

“Kaunselor hari ini berdepan dengan cabaran sosial, psikologi dan teknologi selaras dengan faktor globalisasi dalam pelbagai konteks, kepercayaan dan nilai budaya.

“Tema ini juga menekankan keperluan seorang kaunselor untuk mempunyai pengetahuan tentang kaedah terapeutik tradisional dan dalam masa yang sama tangkas dan responsif terhadap perubahan sosial, psikologi dan teknologi yang berlaku,” katanya.

Persidangan ini dianjurkan secara bersama antara KPWKM melalui Lembaga Kaunselor Malaysia dengan Universiti Putra Malaysia dan Open University Malaysia serta mendapat kerjasama dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sunway University sebagai rakan strategik.

Terdahulu Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri hadir merasmikan Persidangan Kaunseling Sedunia 2025 di Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia. Turut hadir Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadulla. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas