Oleh: SABRINA SABRE
TEKANAN yang tidak diuruskan dengan baik mampu menjejaskan faktor kesihatan dan kerana itu kita disaran menjadikan aktiviti sukan sebagai rutin bagi menghilangkan masalah tersebut.
Mengakui kebenaran tersebut, penembak muda, Safwan Arif Abdul Aziz berkata menembak mempunyai keistimewaan tersendiri yang dapat menghilangkan tekanan apabila individu tersebut fokus ke arah sasaran.

“Percayalah, ketika itu kita akan terlupa tentang masalah yang dihadapi untuk seketika. Ia merupakan satu teknik melepaskan geram seiring dengan bidikan tersebut.
“Menjadikan aktiviti menembak sebagai rutin bukanlah perkara yang sia-sia memandangkan ia memiliki keistimewaan tersendiri seperti mendidik diri untuk berdisiplin, fokus serta memupuk minat terhadap aktiviti mencabar,” ujarnya kepada Wilayahku.
Menyingkap permulaannya dalam sukan tersebut, atlet berusia 19 tahun itu berkata minat terhadap sukan menembak tercetus sejak di bangku sekolah lagi selain berbekalkan minat yang mendalam.
“Minat menjadikan saya lebih bersemangat untuk menyumbangkan pingat emas dalam setiap acara ditambah pula dengan dorongan keluarga yang memberi galakan dan sokongan tidak berbelah bahagi,” ujar anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini.
Mula menembak seawal usia 14 tahun, atlet Wilayah Persekutuan ini memiliki cara yang tersendiri untuk kekal fokus.

“Setiap orang mempunyai cara tersendiri, bagi saya antara kunci utama adalah tidur yang cukup antara tujuh hingga lapan jam, pemakanan seimbang serta membuat latihan fizikal untuk mengekalkan kecerdasan minda,” ujar pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang ini.
Di samping itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur ini berkata sebagai seorang atlet, segala cabaran, kecederaan serta kesukaran dialami harus diketepikan sebaik kaki menapak memasuki lapang sasar menembak dan wajib digantikan dengan semangat juang yang tinggi.
“Cabaran paling utama adalah kerana sukan ini memerlukan atlet berlawan dengan diri sendiri secara individu untuk mengutip mata yang diperlukan. Selain itu, kita harus rajin berusaha memperbaiki prestasi persembahan di gelanggang pertandingan,” tambahnya latihan berterusan sangat penting untuk meningkatkan teknik dan ilmu menembak.
Dalam masa sama, Safwan Arif berkata dirinya kini giat menjalani latihan empat kali seminggu bersama jurulatih pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam persediaan melayakkan diri ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan diadakan di Sarawak. – WILAYAHKU