Berita

Perlu mohon Permit Khas beli diesel lebihi had dibenarkan

- Diterbit 12 Disember 2024 4:32 PM MYT

ORANG ramai, syarikat berskala kecil dan organisasi digesa memohon Permit Khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tujuan pembelian diesel melebihi jumlah yang dihadkan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata Permit Khas berkenaan boleh digunakan untuk membeli diesel daripada stesen minyak untuk sesuatu kegunaan yang dibenarkan selain dari tujuan jualan semula.

“Kemudahan ini terkandung dalam Garis Panduan Permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual dan Permit Khas yang ditadbir di bawah punca kuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.

“Ini termasuklah bagi kegunaan pertanian dan penternakan dengan had kuantiti tidak melebihi 200 liter sehari pembelian,” katanya dalam sesi penggulungan bagi peringkat KPDN di Dewan Negara hari ini.

Katanya, pemohon juga perlu mengemukakan surat pengesahan dari agensi yang berkaitan dan boleh mengemukakan permohonan melalui Sistem Permit Khas yang terkandung dalam portal KPDN – https://permitkhas.kpdn.gov.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas