BELANJAWAN 2025 merupakan satu usaha yang menekankan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekonomi negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui langkah-langkah inklusif dan progresif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya menyambut baik Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober 2024.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas pengumuman tiga inisiatif penting yang telah diperuntukkan kepada Wilayah Persekutuan.
“Pertamanya, peruntukan sebanyak RM11 juta untuk memasang 180 unit kamera litar tertutup (CCTV) dan 45 butang panik di Putrajaya dan Labuan bagi meningkatkan keselamatan awam di kedua-dua wilayah tersebut.
“Keduanya adalah peruntukan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan Kajian Geoteknikal Struktur Tanah di Segi Tiga Emas Kuala Lumpur untuk mencegah insiden lubang benam seperti yang berlaku di Jalan Masjid India baru-baru ini.
“Ketiga, peruntukan sebanyak RM100 juta untuk membina dan membaik pulih prasarana awam di seluruh negara di mana Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan menerima RM5 juta daripada peruntukan tersebut di bawah program Lestari Niaga @ Wilayah Persekutuan.
“Ia bagi menaik taraf kemudahan perniagaan di Kuala Lumpur dan Labuan sekali gus meningkatkan kebersihan dan kesejahteraan peniaga serta pengunjung,” ujar beliau kepada Wilayahku pada Rabu.
Katanya, pihak JWP turut menyambut baik pengumuman peruntukan kepada kementerian atau agensi lain dalam Belanjawan 2025 yang akan turut memberi manfaat kepada rakyat di Wilayah Persekutuan.
“Antaranya adalah kerja-kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di kawasan bandar terjejas termasuk Kuala Lumpur bagi menangani risiko banjir.
“Penambahan lorong-lorong khas di Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer (KM) serta penambahbaikan terhadap 100 hentian bas di Lembah Klang dengan kerjasama sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
Menurut Zaliha, dalam aspek sosioekonomi rakyat, kerajaan melaksanakan inisiatif penyediaan kemudahan van sekolah bagi pelajar yang menggunakan perkhidmatan tren khususnya di LRT Sri Rampai dan LRT Melati dengan kadar tambang hanya RM0.50 sen sehala.
“Selain itu, peningkatan kadar bantuan am kepada RM150 dengan had maksimum RM500 sekeluarga setiap bulan turut diumumkan bagi membantu golongan rentan dan melaksanakan program peningkatan nutrisi anak-anak di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Klang bagi menangani isu malpemakanan serta menyediakan peruntukan untuk penyelenggaraan lif usang di rumah strata kos rendah dan sederhana.
“Kerajaan juga berusaha untuk mempergiat aktiviti ekonomi seperti perusahaan makanan menggunakan platform Dapur Digital oleh Pepper Labs.
“Selain itu, projek pemasangan solar di ruang bumbung pejalan kaki sepanjang hampir lima kilometer dan tempat parkir kereta di Putrajaya.
“Kerajaan turut memperuntukkan untuk menanggung sehingga 70 peratus caruman pekerja melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” kata beliau.
Zaliha berkata menuju kepada Tahun Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, JWP turut menghargai peruntukan khas sebanyak RM600 juta bagi pemulihan bangunan ikonik bersejarah milik negara.
“Peruntukan tersebut akan digunakan untuk pemulihan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara. Selain itu, peruntukan itu akan dimanfaatkan untuk pembinaan jambatan bertingkat yang menghubungkan Taman Botani Perdana dengan Carcosa Seri Negara melalui inisiatif Kuala Lumpur Creative and Cultural District (KLCCD) yang mana jawatankuasanya dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II dan saya sendiri,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Zaliha berkata seiring dengan usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, JWP akan terus melaksanakan program-program di bawah Pelan Hala Tuju Wilayah Persekutuan seperti Program Usaha Jaya Insan (PUJI) yang telah terbukti berkesan dalam membantu golongan miskin tegar keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Dengan kerjasama erat daripada semua pihak, kita mampu menjayakan matlamat pembangunan yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat khususnya dalam mencapai visi Wilayah Persekutuan sebagai Bandar CHASE (Clean, Healthy, Advanced, Safe dan Eco-friendly),” katanya. – WILAYAHKU