Berita

Perkukuh kerjasama pakar, kurangkan risiko insiden tanah mendap

SATU lagi insiden tanah mendap dikesan berdekatan Pondok Polis Masjid India.
- Diterbit 30 Ogos 2024 10:10 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyatakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu perkukuh kerjasama dengan pakar geologi dan infrastruktur.

Menurut Zaliha, kerjasama tersebut untuk menilai serta mengurangkan risiko kejadian tanah mendap berlaku lagi pada masa hadapan.

Zaliha menambah, beberapa insiden yang berlaku di Kuala Lumpur sejak akhir-akhir ini merupakan satu ruang untuk semua pihak termasuk DBKL meneliti dan menambah baik kaedah pemantauan dan tindak balas kepada insiden tersebut.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif untuk segera bekerjasama secara dekat dengan ahli geologi dan pakar infrastruktur untuk menilai dan mengurangkan sebarang risiko insiden seperti ini pada masa akan datang.

“Pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL juga akan memperkukuhkan prosedur operasi standard (SOP) pembangunan dengan memastikan kajian geoteknik oleh jurutera bertauliah dikemukakan di peringkat lebih awal iaitu di peringkat permohonan kelulusan perancangan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Zaliha, beliau juga sedang berkomunikasi secara dekat dengan Duta Besar India ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) B.N. Reddy dalam memberi perkembangan dari semasa ke semasa berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masih dijalankan.

Justeru itu, Zaliha menyarankan agar mana-mana pihak tidak perlu menangguk di air keruh untuk mencari publisiti murahan atau mempolitikkan isu tersebut.

“Saya menghargai keprihatinan semua pihak terkait isu tanah mendap di sekitar Kuala Lumpur, adalah penting untuk isu ini ditangani dengan fakta dan tindakan yang berasas, bukan hanya retorik dan tindakan yang boleh menyebabkan keresahan rakyat.

“Fokus kita sekarang adalah untuk mencari penyelesaian yang konstruktif demi keselamatan dan kesejahteraan semua,” ujarnya.

Tambah Zaliha, beliau turut berkomunikasi dari semasa ke semasa dengan Datuk Bandar untuk mengenal pasti tindakan segera yang dilaksanakan dan strategi jangka panjang, selain tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji semula dasar perancangan bandar di Kuala Lumpur agar risiko insiden dapat dikurangkan dengan lebih berkesan.

“Saya menyeru semua pihak termasuk penduduk dan pemegang-pemegang taruh yang berkaitan untuk bersama-sama memberi pandangan yang konstruktif.

“Pihak berwajib akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini berhubung insiden tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas