DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya berjaya menyalurkan sumbangan kepada 10 usahawan yang terjejas pendapatan disebabkan pelbagai faktor selepas platform infaqdpim yang dilancarkan tiga bulan lalu terus mendapat sokongan pelbagai pihak.
Terbaharu, Islah Global Foundation and Business Association (Islah Global Foundation) menerima surat lantikan daripada DPIM Putrajaya sebagai rakan strategik yang akan membantu meluaskan lagi kempen itu dalam kalangan orang ramai di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berkata, antara cabaran dalam kalangan usahawan sama ada ahli atau sebaliknya apabila perniagaan tidak mampu diteruskan ekoran pendapatan terjejas di sebabkan pelbagai faktor.
“Ada yang kehilangan pendapatan disebabkan masalah kesihatan, premis terbakar, berhadapan masalah muflis atau terlibat dengan peminjam wang haram.
“Lantaran itu, melalui platform infaqdpim mereka akan dibantu supaya mampu meneruskan kelangsungan mencari sumber pendapatan.
“Dua kategori bantuan diperkenalkan iaitu bantuan sekali sahaja (one off) diserahkan kepada ahli yang terpilih dan kategori kedua melalui tabung pemasaran digital.
“Beberapa rakan strategik telah dilantik sebagai pihak ke tiga untuk membantu mempelbagaikan kempen sumbangan terhadap tabung yang diwujudkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Pelantikan Islah Global Foundation sebagai pemasaran eksekutif untuk Infadpim di sini baru-baru ini.
Majlis turut dihadiri penasihat DPIM, Datuk Samsul Husin, Pengasas dan Pengerusi Islah Global Foundation, Ustaz Saiful Islam Mohd Naser, Timbalan Pengarah Projek Islah Global Foundation, Siti Nabila Hasan dan Imam Muda Nazrul.
Muhammad Khanafi berkata, orang ramai dialu-alukan untuk terus menyumbang kepada infaqdpim kerana lebih banyak wang yang terkumpul lebih ramai usahawan dapat dibantu.
“Menerusi platform yang dibangunkan ini, sistem yang diperkenalkan lebih terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu menyertainya.
“Saluran telus kerana setiap bantuan mempunyai data lengkap yang boleh di akses oleh pihak penyumbang dan juga penerima malah setiap wang disalurkan diaudit secara profesional dan bertauliah, “ ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Projek Islah Global Foundation, Siti Nabila Hasan berkata, melalui pelantikan tersebut pihaknya akan melakukan penjenamaan semula kepada produk dan perkhidmatan usahawan yang terpilih.
“Fokus akan diberikan kepada usahawan kecil dan sederhana untuk mengembangkan perniagaan.
“Langkah pertama mereka mesti memohon melalui tabung infaqdpim sama ada menerima bantuan sekali sahaja misalnya untuk membeli bekalan atau sebagai penerima bantuan membangunkan pemasaran secara digital.
“Di pihak Islah Global Foundation bukan sahaja terlibat dengan usahawan yang terjejas tetapi juga menggerakkan kempen infaqdpim di kalangan orang ramai.
“Misalnya melalui program-program yang dianjurkan, kumpulan usahawan yang terpilih menerima bantuan akan turut serta. Tabungan melalui kempen Infaqdpim ini juga akan disebarluas melalui media sosial,” katanya.
Menurut Siti Nabila lagi, penerima sumbangan daripada tabung infaqdpim akan dibantu dari segi pemasaran digital seperti membina laman sesawang (website) dan membuka akaun facebook bagi tujuan mengembangkan perniagaan.
“Pemasaran digital ini termasuklah membimbing, memberi tunjuk ajar kaedah yang betul meniaga di dalam talian.
“Sehubungan dengan itu ahli korporat dan orang ramai dialu-alukan untuk menyalur sumbangan agar lebih ramai usahawan yang terjejas pendapatan ini dibantu untuk bangkit semula,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melayari http://www.infaqdpim.com – WILAYAHKU