Berita

Perkenal satu sistem percukaian tangani masalah ekonomi

- Diterbit 1 Mac 2024 9:00 AM MYT

KERAJAAN wajar memperkenalkan satu sistem percukaian dalam menangani masalah ekonomi yang secara tidak langsung mampu meningkatkan serta mengukuhkan nilai ringgit.

Setiausaha Agung, Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Dr Mohd Fairuz A. Razak berkata ia dilihat sebagai langkah yang baik dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Kutipan hasil cukai adalah antara sumber utama pendapatan negara, dan jika dilihat sekarang wujudnya pelbagai jenis cukai di dalam membantu menjana pendapatan negara.

“Pada pandangan saya, mungkin cara terbaik, satukan cukai ini, sebagai satu sistem percukaian,” kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Namun, menurut Mohd Fairuz, pelaksanaannya bukan dalam masa terdekat memandangkan banyak perkara yang harus dititikberatkan.

“Pengenalan satu sistem percukaian amat memudahkan kerajaan malah termasuk juga pengguna. Bayangkan kita tidak lagi perlu membayar cukai-cukai yang ada buat masa ini dan hanya perlu bayar satu sahaja cukai.

“Walaubagaimanapun, perlu faham, satu kajian terperinci perlu dilakukan sebelum ia dilaksanakan dan banyak perkara perlu diambil maklum.

“Antara faktor yang perlu diberi perhatian semestinya ia tidak membebankan rakyat serta membantu jana pendapatan negara secara telus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Fairuz menegaskan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) mungkin hanya akan membebankan rakyat ditambah kenaikan kos sara hidup yang meruncing.

“Jika diikutkan OPR kita berbanding negara-negara lain memang rendah namun, ekonomi kita masih dalam fasa pemulihan selepas wabak COVID-19, kemelut politik, namun kenaikan OPR ini akan menjejaskan banyak pihak.

“Kenaikan OPR akan menjejaskan perbelanjaan rakyat, sekali gus akan merencatkan ekonomi negara secara domestik dan juga memberi kesan kepada nilai ringgit.

“Kestabilan ekonomi ambil masa namun, kerajaan masih dalam fasa pemulihan ekonomi dengan banyak perancangan yang telah dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata cadangan meningkatkan OPR dilihat bukan satu langkah terbaik untuk dilaksanakan buat masa ini.

Beliau ambil maklum ada sesetengah pihak yang memberikan pandangan atau cadangan yang mahu Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan OPR kerana itu bukan satu perkara yang akan membantu rakyat pada waktu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyatakan sebelum ini, di mana perkiraannya sekiranya kadar OPR dinaikkan, kadar faedah lebih tinggi bagi Malaysia tetapi kesannya nanti kepada rakyat.

Oleh kerana itu, jelas Mohd Fairuz, beliau mengakui pengenalan satu sistem percukaian baru akan membantu kerajaan serta rakyat untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Dalam masa sama, saya yakin, ekonomi domestik akan turut berkembang, kita perlukan ketelusan percukaian, satu sistem ini jugak tidak membebankan pihak-pihak tertentu malah menghapuskan ketidaktelusan dalam percukaian sekali gus menjana pendapatan negara dengan baik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas