Berita

Perkembangan semasa Asia Barat: Penerbangan balik jemaah haji dijadual semula

- Diterbit 24 Jun 2025 5:30 PM MYT

BEBERAPA penerbangan balik jemaah haji pada hari ini akan dijadual semula atas nasihat keselamatan syarikat penerbangan dan bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa operasi penerbangan di Asia Barat.

Menurut Tabung Haji (TH), penerbangan yang akan mengalami penjadualan semula adalah KT043 (MH8301) dari Madinah ke Kuala Lumpur (jadual asal: 5.10 pagi waktu Arab Saudi) dan KT034 (MH8291) dari Jeddah ke Kuala Lumpur (jadual asal: 6.40 pagi waktu Arab Saudi).

“Kedua-dua penerbangan carter haji tersebut telah ditunda sekurang-kurangnya 24 jam daripada jadual asal.

“Penjadualan baharu sedang disusun dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa, termasuk penyelarasan trafik udara dan keperluan logistik,” katanya dalam kenyataan.

TH menambah, kesemua jemaah yang terlibat telah ditempatkan sementara di hotel sekitar Jeddah dan Madinah bagi memastikan kebajikan dan keselesaan mereka.

Koordinasi di lapangan terbang katanya, sedang giat dijalankan antara pihak syarikat penerbangan dan TH bagi memastikan kelancaran urusan logistik jemaah.

“Setakat ini sebanyak 39 penerbangan telah tiba di tanah air dengan baki 61 penerbangan lagi.

“Sebarang perkembangan lanjut, termasuk perubahan jadual oleh syarikat penerbangan, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas