Fokus

Perkasa sukan tradisi rakyat

BARISAN peserta bergambar selepas acara sukan.
- Diterbit 12 Januari 2024 4:19 PM MYT

Generasi muda hari ini dilihat lebih cenderung dan terpengaruh dengan industri permainan secara digital sekali gus menjadikan sukan tradisional semakin dilupakan.

Namun kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana faktor kehidupan hari ini menyumbang kepada perkara tersebut. Malah pengaruh dunia digital itu sendiri memberi impak terhadap perkembangan permainan tradisional.

FUAD (kiri) fokus menyusun strategi ketika bermain dam aji.

Menurut salah seorang peserta Karnival Sukan Komuniti Kampung, Siti Zahira Abd Murat, sukan rakyat adalah aktiviti santai yang harus diketengahkan agar masyarakat masa kini mengetahui pengisian kanak-kanak terdahulu.

SITI ZAHIRA

“Meskipun generasi muda lebih terdedah kepada sukan dalam talian tetapi sambutan terhadap karnival ini amat menggalakkan. Saya lihat sukan tradisional berjaya mendapat perhatian mereka.

“Penyertaan anak-anak muda secara tidak langsung membuatkan mereka bersemangat untuk merasai keunikan permainan kanak-kanak era dahulu di samping memahami budaya yang diwarisi,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Zahira turut mencadangkan agar persatuan komuniti setempat untuk mewujudkan pasukan dan menjadikan acara ini secara mingguan atau bulanan.

“Mungkin selepas ini, pasukan yang ada boleh bertanding dengan pasukan komuniti di luar. Saya kira ia satu pengisian yang indah,” katanya langkah tersebut dapat mengelakkan kanak-kanak terlibat dengan permainan dalam talian sepanjang masa.

Sementara itu, Muhammad Fuad Ibrahim berkata dia teruja dapat mengimbau kembali nostalgia zaman kanak-kanak yang sememangnya membawa 1,000 kenangan ketika berada di kampung halaman.

“Saya masuk permainan dam aji dan ini juga merupakan aktiviti wajib di kamping setiap hari ketika zaman kecil bersama adik-beradik dan sepupu,” ujarnya.

“Dengan adanya program ini, ia bukan sahaja dapat martabatkan kesenian permainan itu sendiri malah mendidik masyarakat untuk beriadah melalui aktiviti kesukanan,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas