Berita

Perkasa sektor pendidikan… Rizor Tech sumbang mesin cetak kepada 36 Sekolah di Selangor

- Diterbit 27 Jun 2025 12:31 PM MYT

DALAM usaha memperkasa sektor pendidikan negeri, Rizor Tech Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah menyumbangkan mesin pencetak dan pendua kepada 36 buah sekolah terpilih di Selangor.

Majlis Penyerahan Sumbangan yang berlangsung di Klang baru-baru ini merupakan fasa pertama inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan membantu meningkatkan kecekapan pentadbiran dan memudahkan proses pembelajaran di sekolah-sekolah terlibat.

PENGERUSI Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Halim Omar ( kiri), Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Yusaini Salleh (tengah) dan Pengasas Rizor Tech Sdn Bhd, Datuk Edwin Khoo (kanan) di Majlis Penyerahan Sumbangan Mesin Pencetak dan Pendua kepada Sekolah- Sekolah Negeri Selangor di Klang baru- baru ini.

Menurut Pengasas Rizor Tech Sdn Bhd, Datuk Edwin Khoo, pihaknya terpanggil untuk melaksanakan inisiatif ini sebagai sumbangan kecil namun bermakna dalam menyokong para pendidik dan pelajar.

“Kami percaya pendidikan adalah asas kepada pembinaan masa depan negara. Sumbangan ini adalah langkah kecil yang membawa erti besar dalam membantu guru dan murid.

“Majlis hari ini melambangkan komitmen kami untuk memperkukuh operasi harian sekolah serta menyumbang ke arah pembangunan pendidikan dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Sebagai rakan strategik JPNS, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak pendidikan serta rakan komuniti seperti FAS yang mana Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Presidennya,” katanya.

Tambahnya, inisiatif ini bukan sahaja mempermudah urusan harian di sekolah malah mengukuhkan hubungan strategik antara sektor pendidikan, syarikat korporat dan badan sukan negeri.

WAKIL daripada 36 buah sekolah yang hadir di Majlis Penyerahan Sumbangan Mesin Pencetak dan Pendua kepada Sekolah- Sekolah Negeri Selangor di Klang baru- baru ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah JPNS, Yusaini Salleh, barisan kepimpinan FAS termasuk Datuk Dr P. Sugumaran, Sekar Chandran, Encik Azri Pardas, Simon Lim serta beberapa wakil sekolah penerima.

Difahamkan, terdapat lebih 1,300 buah sekolah di seluruh Selangor dan program ini merupakan langkah permulaan ke arah impak yang lebih menyeluruh. Fasa kedua dijadualkan berlangsung pada Julai 2025 melibatkan lebih banyak sekolah sebagai penerima.

Sekolah yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini boleh menghubungi terus pihak JPNS atau menghubungi Datuk Edwin Khoo di talian 016-480 6868. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas