ATLET dan pegawai digalakkan untuk menjadikan perkampungan sukan sepanjang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 ini sebagai platform merapatkan ukhuwah.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sukan lebih bermakna dengan wujudnya perpaduan dalam kalangan atlet yang datang dari pelbagai negeri.
“Kita mahu lihat perkampungan sukan ini menjadi pusat atau tempat untuk atlet, pegawai dari semua negeri beramah mesra dan bersukan dalam penuh perpaduan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perkampungan Sukan SUKMA Sarawak 2024.
Tambah beliau, melalui maklum balas yang diterima setakat ini aspek penginapan dan pengangkutan adalah sangat baik dan pihaknya memberi jaminan akan segera mengambil tindakan wajar sekiranya terdapat sebarang masalah berlaku di Perkampungan Sukan SUKMA Sarawak 2024.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata terdapat beberapa venue pertandingan yang tidak sempat siap seperti yang dijanjikan meskipun kontraktor sudah bekerja siang dan malam.
“Untuk venue pertandingan, kita mengakui ada beberapa tempat yang diharapkan siap sebelum temasya namun tidak kesampaian sebagai contoh lokasi pertandingan memanah yang mana kawasan tandasnya sahaja belum siap namun prasarana untuk melaksanakan sukan memanah itu telah siap sepenuhnya. Ia tidak akan mengganggu rentak atlet untuk pertandingan,” jelasnya.
Terdahulu, SUKMA kali ini mempunyai 37 sukan dan 488 acara sukan yang diadakan di sembilan bahagian berbeza di seluruh Sarawak melibatkan beberapa buah daerah dan terdapat lima perkampungan sukan utama dan keseluruhan 33 perkampungan sukan termasuk di hotel, institusi pengajian tinggi, politeknik dan sebagainya. – WILAYAHKU