Berita

Perisma Pahang lancar tabung kilat… Bantu pembedahan alat sulit anak OKU

Hadif telah menjalani pembedahan di bahagian perut dan alat sulit pada Selasa (20 Mei 2025) di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
- Diterbit 21 Mei 2025 11:27 AM MYT

ATAS rasa tanggungjawab dan penuh prihatin, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (Perisma) Negeri Pahang, telah melancarkan Tabung Derma Kilat untuk anak istimewa Mohammad Hadif Azim yang kini berusia tiga tahun.

Hadif telah menjalani pembedahan di bahagian perut dan alat sulit pada Selasa (20 Mei 2025) di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

Hadif telah menjalani pembedahan di bahagian perut dan alat sulit pada Selasa (20 Mei 2025) di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

Susulan itu, tabung ini dilancarkan bagi meringankan beban bapanya Anggota Bomba Mentakab, Pahang, Bakhtiar Azman Jamaludin yang masih dalam pantauan hospital kerana dipatuk ular tedung ketika sedang bertugas pada 10 Mei baru-baru ini.

Ibunya Noorafshamiza Othman yang merupakan peniaga kuih sejuk beku juga merupakan ahli Perisma Pahang.

Menurut Pengerusinya, Suraya Jusoh, tabung tersebut merupakan satu inisiatif untuk membantu meringankan beban keluarga itu.

“Tabung kilat ini dibuka sehingga 25 Mei. Ini. Sebenarnya ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memberikan bantuan segera kepada anggota bomba dan ahli Perisma yang memerlukan.

“Tabung kilat ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu menghulurkan bantuan. Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menampung kos pembedahan, rawatan susulan, ubat-ubatan serta keperluan Hadif.

“Langkah ini juga bersesuaian dengan matlamat Perisma yang mengutamakan kebajikan ahli yang merupakan isteri kepada anggota bomba.

“Terima kasih kepada semua penyumbang. Semoga segala bantuan dan doa anda semua meringankan beban mereka. Jasa anda semua hanya Allah yang mampu membalasnya,” katanya.

SURAYA (kanan) dan Norhayati mahu terus menjaga kebajikan ahli Perisma Pahang.

Sementara itu, menurut Timbalan Perisma Pahang, Norhayati Abdul Rahim, bantuan ini adalah bersifat sementara dan mengikut keperluan semasa.

“Bantuan atau tabung yang kami lancarkan ini hanyalah untuk sementara waktu sahaja memandangkan ibu Hadif adalah ahli Perisma yang aktif dan banyak berjasa.

“Tidaklah semua insiden yang berlaku kami perlu lancarkan tabung kilat. Hanya untuk mereka yang betul-betul memerlukan, mengikut kesesuaian serta dalam tempoh tertentu sahaja,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melakukannya melalui akaun rasmi Maybank Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (Perisma) Negeri Pahang – 556011005147. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas