KEJADIAN ribut petir berserta hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur pada pagi tadi adalah berpunca daripada pergerakan garis badai yang membawa bersama ribut petir dan hujan lebat.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pemantauan cuaca dan analisis imej radar menunjukkan garis badai ribut petir terbentuk di Selat Melaka pada awal pagi dan mula bergerak memasuki Selangor pada pukul 7 pagi.
“Garis badai semakin meningkat dan bergerak ke Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
MetMalaysia menambah, taburan hujan paling tinggi direkodkan di antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi
“Stesen Meteorologi di Hutan Simpan Persekutuan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong merekodkan jumlah hujan 53.5 milimeter (mm) diikuti empangan Klang Gate (51.7 mm) dan Parlimen (47.3 mm) dalam tempoh tersebut,” katanya.
Katanya, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran yang menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di Lembah Klang seawal pukul 6.30 pagi tadi.
Malah amaran ribut petir dikemas kini pada pukul 8.50 pagi dan melibatkan Kuala Lumpur.
“Amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia sentiasa dikemas kini dan disebarkan menerusi pelbagai medium seperti laman web, laman sosial Facebook, Instagram dan X serta khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.
Beberapa kawasan dan jalan raya utama di sekitar ibu negara dinaiki air ekoran limpahan sungai-sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak akibat hujan lebat.
Kejadian tanah runtuh turut berlaku di Taman Melawati, Ampang yang menyebabkan 20 rumah teres terputus hubungan dengan laluan utama. – WILAYAHKU