Berita

Perdana Menteri ‘Tokoh Paling Baik’ sandang tugas Menteri Kewangan – Rafizi

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 22 November 2023 6:50 AM MYT

PERDANA Menteri dilihat sebagai ‘tokoh paling baik’ bagi menyandang tugas sebagai Menteri Kewangan, sesuai dengan peranannya yang memiliki tanggungjawab paling besar bagi memastikan tatakelola perolehan negara yang telus.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata di bawah Kerajaan Perpaduan, tugas merungkai dan memulihkan ekonomi negara bukanlah hanya tugas Kementerian Kewangan semata-mata, sebaliknya diagih-agihkan mengikut kementerian dan digalas kesemua Jemaah Menteri, berbeza dengan pentadbiran sebelum ini.

“Sebenarnya bidang kuasa Menteri Kewangan adalah untuk urus soal fiskal, pandangan saya, itulah silapnya sebelum ini, kerana Perdana Menteri pusatkan semuanya pada dia jadi dia tidak sempat buat. Jadi sekarang ini dari segi pecahan kerjanya, sebahagian besar dari segi pelan perancangan ekonomi dan dasar jangka sederhana dan masa panjang ditentukan oleh Kementerian Ekonomi.

“Kemudian pelaksanaan itu diusahakan bersama dengan kementerian-kementerian yang ada mandat dan tanggungjawab itu dan urusan dari segi tatakelola kerana Menteri Kewangan bertanggungjawab (agar) proses perolehan itu benar-benar telus, sebab itu pandangan saya tokoh paling baik jadi Menteri Kewangan ialah Perdana Menteri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang mahu tahu sama ada sudah tiba masanya Perdana Menteri melantik Menteri Kewangan sepenuh masa, kerana berpendapat proses pemulihan ekonomi negara ketika ini adalah gagal.

Rafizi berkata di bawah pentadbiran semasa, ini merupakan kali pertama sejak bertahun-tahun, yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi negara dalam tiga suku berturut-turut, termasuk kadar kemiskinan paling rendah dan kenaikan gaji lebih tinggi.

“Kemiskinan paling rendah, kenaikan gaji lebih tinggi sebelum ini, pertumbuhan ekonomi, inflasi paling rendah, jadi dekat bahagian mana Pagoh yang kata bahawa rakyat tidak ada keyakinan. Sedangkan kita lihat sedikit demi sedikit keyakinan itu sedang pulih termasuk dengan kemasukan pelaburan-pelaburan,” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi meminta agar Muhyiddin tidak menyalah guna dan ‘menunggang’ nama rakyat dan pelabur, kononnya dengan mengatakan proses pemulihan ekonomi negara sebagai gagal.

Rafizi berkata pencapaian Kerajaan Perpaduan dalam aspek pertumbuhan ekonomi itu juga, tidak pernah dilakukan Muhyiddin, yang juga bekas Perdana Menteri, ketika Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara selama 33 bulan.

“Kerana kita lihat kepada pemulihan ekonomi sekarang, masalah sebelum ini ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu ialah masalah strutktur, ini termasuk soal penglibatan aktiviti ekonomi kita dalam aktiviti-aktiviti bernilai tinggi, kita juga perlukan industri dan roh naratif baharu.

“Kita juga ada masalah dari pasaran buruh, bila kali terakhir kerajaan sebelum ini benar benar menumpukan kepada reformasi pasaran buruh, bila kali terakhir kita berbincang mengenai gaji, bila kali terakhir bincang mengenai bentuk pekerjaan yang tawar gaji lebih tinggi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas