Berita

Perdana Menteri sampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa nahas UiTM Dungun

- Diterbit 18 Oktober 2024 11:48 AM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada keluarga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun, Allahyarham Khairil Anwar Jamaluddin yang terkorban dalam nahas pada 9 Oktober lalu.

Sumbangan disampaikan melalui Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi di kediaman keluarga pelajar itu, semalam.

“Saya amat bersimpati dan berdukacita dengan insiden menyayat hati ini yang telah mengorbankan nyawa tiga anak muda.

“Dalam kunjung itu, Farhan telah menyampaikan ucapan takziah dan sumbangan bagi pihak saya kepada keluarga Allahyarham Khairil.

“Saya mendoakan keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan untuk berdepan ujian berat ini serta diberikan keadilan. Semoga allahyarham bersama dua sahabatnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya menerusi hantaran di X.

Nahas pada jam 7.35 malam itu meragut nyawa Khairil Anwar, 20, Ku Adib Aizat Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akhmal Md Tukirin, 25.

Ketiga-tiga mangsa dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan utiliti sukan dipandu seorang wanita berusia 49 tahun di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun sewaktu menaiki motosikal untuk pulang ke kampus mereka.

Sementara seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, terselamat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas