Berita

Perdana Menteri rai majlis berbuka puasa pengamal media

- Diterbit 11 Mac 2025 10:19 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan kira-kira 300 pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa YAB Perdana Menteri bersama Pengamal Media di Pekarangan Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri hari ini.

Anwar yang mengenakan baju Melayu berwarna biru tiba pada pukul 6.55 petang disambut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau meluangkan masa bersalaman dan menyantuni pengamal media terdiri daripada pelbagai agensi media tempatan.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan
Tabung Kasih@HAWANA kepada 10 veteran media yang diuji dengan masalah kesihatan bagi membantu mereka membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Antara penerima sumbangan terdiri daripada bekas wartawan Utusan Malaysia, Mohd Ifqdar Abdul Rahman;
tiga veteran New Straits Times (NSTP) Mohd Zaini Sayuti, Salmah Mohsin dan Dzulkeffli bin Mustapha; tiga veteran Berita Harian (BH) Hariyati Ariffin, Akmal Abdullah dan Mohd Ali Majid; dua veteran BERNAMA Fadzlon Ahmad dan Nik Mohamed Omar serta seorang veteran RTM, Hajrahbi Muhammad.

Sementara itu, salah seorang penerima yang merupakan bekas Pengarang Hiburan Berita Harian, Akmal Abdullah ketika ditemui berkata, bantuan yang diterima sedikit sebanyak membantu membiayai kos perubatan dialisis beliau yang mencecah RM3. 900 sebulan.

“Alhamdulillah atas keprihatinan. Ini merupakan tahun ketiga saya menerima bantuan sejak 2022. Kali pertama pihak BERNAMA datang ke rumah menyampaikan sumbangan. Bagi saya tabung ini sangat bermanfaat dan sebagai bekas pengamal media, saya berasa amat dihargai, ” ujarnya yang perlu menjalani dialisis sepanjang hayat.

Mengulas lanjut tentang dirinya, beliau ketika ini sedang giat menulis buku tentang seniman legenda tanah air Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang menghimpunkan kisah-kisah di sebalik kehidupan seniman agung itu.

Terdahulu, selain sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, Anwar turut menyempurnakan peluncuran Buku Amanat Integriti dan Tatakelola: Malaysia MADANI. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas