Berita

Peratus OKU memohon pekerjaan sektor awam belum capai 1 peratus – Zaliha

- Diterbit 4 Mac 2024 3:03 PM MYT

PENGISIAN pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) dalam sektor perkhidmatan awam untuk tempoh 10 tahun bermula tahun 2014 hingga 2023 masih belum mencapai sasaran satu peratus seperti ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata antara punca yang dikenal pasti adalah peratusan permohonan pekerjaan dalam sektor awam oleh calon OKU yang tidak sampai pun 1 peratus
berbanding permohonan keseluruhan calon.

“Sebagai contoh, data daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan dari tahun 2019 hingga 2023, hanya 0.3 peratus ke 0.64 peratus sahaja jumlah permohonan yang diterima daripada calon OKU,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai statistik 10 tahun terkini peratusan pekerja OKU dalam sektor Awam sejak diperkenal Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam kepada OKU pada tahun 1988.

Walaubagaimanapun menurut Zaliha, statistik, pencapaian Dasar Satu Peratus menunjukkan corak peningkatan seperti 0.23 peratus pada tahun 2014; 0.25 peratus pada tahun 2015; 0.28 peratus pada tahun 2016; 0.29 peratus pada tahun 2017 sehingga tahun 2022, dan 0.3 peratus pada tahun 2023.

Tambah Zaliha, hasil Kajian Kepuasan Bekerja Dalam Kalangan Penjawat Awam OKU yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapati keupayaan dan kompetensi penjawat awam OKU dalam menyesuaikan diri dengan penyelia, rakan sekerja, dan persekitaran organisasi di mana mereka berkhidmat.

“Selain itu, sering merasa tertekan dengan tuntutan kerja dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik disebabkan keupayaan mereka yang terbatas.

“Antara lain, aspek penerimaan Ketua Jabatan untuk menyediakan sokongan dan kemudahan yang diperlukan bagi penjawat awam OKU,” ujarnya.

Oleh itu, jelas Zaliha, menyedari pencapaian yang rendah dan cabaran-cabaran yang dihadapi penjawat awam OKU, maka Dasar Satu Peratus ini akan ditambah baik dari segi pelaksanaannya di masa hadapan.

“Kerajaan sentiasa komited dan responsif terhadap isu-isu semasa yang dihadapi penjawat awam OKU untuk keluar dan pulang bekerja dengan selamat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas