Berita

Perarakan kereta berhias bakal meriahkan Dataran Merdeka

- Diterbit 13 Februari 2025 3:46 PM MYT

SATU perarakan kereta berhias bakal diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad ini bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2025 dan Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataannya hari ini berkata, perarakan tersebut diiringi 600 orang peserta yang terdiri daripada 10 kumpulan kaum termasuk Melayu, India, Cina, Sabah, Sarawak, Orang Asli, Baba & Nyonya, Siam, Chetti dan Jawa.

“Para peserta ini akan membuat persembahan kebudayaan dan memainkan alat muzik sepanjang perarakan dijalankan.

“Perarakan ini akan bergerak sejauh 1.6 kilometer bermula daripada Dataran Merdeka melalui Jalan Raja, Jalan Tunku Abdul Rahman seterusnya kembali ke Dataran Merdeka,” katanya ia adalah salah satu intipati aktiviti di bawah Program Perarakan Harmoni 2025.

Sementara itu, Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Perarakan Harmoni 2025 merupakan program baharu yang diperkenalkan oleh KPN untuk memperkukuh perpaduan dan keharmonian dengan menonjolkan kepelbagaian etnik, keunikan budaya serta kekayaan warisan masyarakat di Malaysia.

“Perpaduan dan kesatuan masyarakat adalah matlamat utama Kerajaan MADANI, maka dengan pelaksanaan program-program seperti ini dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali kepelbagaian agama dan budaya di antara masyarakat seterusnya membentuk masyarakat yang bersatu padu serta mengamalkan konsep Faham, Hormat dan Terima.

“KPN ingin menjemput orang ramai turut hadir bagi sama-sama memeriahkan Perarakan Harmoni dan melihat sendiri keunikan kereta berhias yang akan dipamerkan dan menikmati alunan muzik, tarian serta persembahan daripada pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.

Program Perarakan Harmoni 2025 akan diadakan pada 15 dan 16 Februari 2025 bermula pukul 9 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas