Putrajaya

People’s Market warnai Laman Perdana

- Diterbit 16 Mei 2025 2:40 PM MYT

JANGAN lepaskan peluang merasai pengalaman membeli-belah unik barangan terpakai berkualiti tinggi di People’s Market.

ACARA komuniti berkonsepkan pasar barangan terpakai berkualiti, People’s Market, membuka tirainya dengan penuh meriah di Laman Perdana, Presint 1, Putrajaya pada Sabtu lalu.

Menurut Perbadanan Putrajaya (PPj), program ini akan berlangsung pada setiap Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 1 petang.

Menawarkan pelbagai barangan menarik seperti pakaian terpakai, permainan kanak-kanak termasuk mainan Montessori serta aneka pilihan makanan, acara ini ternyata mendapat sambutan hangat daripada warga Putrajaya dan kawasan sekitarnya.

Seorang ibu kepada tiga anak, Faridah Abdullah, 45, berkata People’s Market bukan sahaja memberi peluang untuk mendapatkan barangan berkualiti pada harga berpatutan, malah menjadi platform aktiviti keluarga yang bermanfaat.

“Saya datang dengan anak-anak. Mereka seronok dapat pilih mainan sambil saya cari pakaian terpakai yang masih elok. Suasana pun sangat mesra dan santai,” katanya.

Sementara itu, Dinie Hazwan Tajol Aros, 28, yang pertama kali mengunjungi pasar ini memuji inisiatif PPj dalam menganjurkan program sebegini.

“Saya suka konsep ini kerana ia menyokong gaya hidup lestari. Saya sendiri beli beberapa pakaian dan aksesori pada harga sangat murah. Kalau boleh, biarlah acara ini diteruskan sepanjang tahun,” katanya.

People’s Market turut menyediakan ruang duduk yang selesa bagi membolehkan pengunjung berehat sambil menikmati juadah yang dijual oleh vendor tempatan. Konsep membawa beg sendiri juga mendapat sambutan baik, selari dengan amalan mesra alam.

Sambutan luar biasa yang diterima pada hari pertama membuktikan minat masyarakat terhadap acara berkonsep komuniti dan kelestarian. Diharapkan People’s Market akan terus menjadi platform sokongan kepada usahawan tempatan dan mengeratkan hubungan komuniti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas