PELBAGAI penambahbaikan yang telah diterapkan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) berbanding agenda pembangunan Bumiputera sebelum ini.
Kementerian Ekonomi berkata antaranya adalah penglibatan yang lebih bersepadu daripada syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) serta syarikat swasta sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera.
Katanya, tumpuan khusus kepada segenap lapisan masyarakat Bumiputera termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta pemberian limpahan manfaat kepada kumpulan minoriti bukan Bumiputera yang memerlukan antara penambahbaikan yang dilaksanakan.
“Selain itu, penetapan matlamat serta sasaran memartabatkan masyarakat Bumiputera dalam pelbagai aspek sosioekonomi juga diberikan perhatian dan tidak memberi tumpuan kepada pemilikan ekuiti semata-mata,” katanya dalam sesi jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Jelas kementerian, PuTERA35 hanya dibangunkan bagi membuka ruang dan peluang kepada Bumiputera untuk memanfaatkan sektor serta industri yang diberi tumpuan oleh Kerajaan, terutamanya industri High Growth High Value (HGHV) dan berasaskan teknologi termaju serta nilai ditambah yang tinggi.
“Selain itu, terdapat juga penambahbaikan terhadap pelaksanaan dan pemantauan yang diperkenalkan di bawah PuTERA35 yang merangkumi pewujudan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di setiap kementerian bagi melaksana dan memantau ikhtiar PuTERA35, pembangunan Dashboard PuTERA35 sebagai pemantauan pelaksanaan dan penilaian keberhasilan yang lebih sistematik sehingga tahun 2035.
“Pendekatan dalam pemantauan pelaksanaan PuTERA35 yang diambil adalah menggunakan kaedah dari atas ke bawah (top down approach) oleh Kementerian Ekonomi, serta dari bawah ke atas (bottom up approach) oleh UPAB,” katanya.
Menurut Kementerian, di peringkat tertinggi, Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang di pengerusikan oleh Perdana Menteri bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan dan pemantauan PuTERA35.
“Majlis ini terdiri daripada Ahli Jemaah Menteri, termasuk Ahli Jemaah Menteri bukan Bumiputera, wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta wakil GLC dan GLIC.
“MEB dibantu oleh dua jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa PEMANDU MEB dan Jawatankuasa Kerja MEB,” katanya.
Tambah kementerian, penyediaan dokumen PuTERA35 ini bukan dalam masa yang singkat memandangkan PuTERA35 dihasilkan dari resolusi yang dikemukakan melalui Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang diadakan pada awal tahun 2024 termasuk pelaksanaan pelbagai libat urus dengan pihak berkepentingan sepanjang tahun 2024. – WILAYAHKU