SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti jumlah sitaan yang melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri bernilai kira-kira RM143 juta sepanjang operasi yang dijalankan sejak minggu lalu.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sitaan itu melibatkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta; lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta, kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta; sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta (13 buah kereta masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan).
Tambah beliau, turut disita adalah jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta; tas tangan bernilai RM3 juta; barang kemas serta berlian (RM6 juta); empat ekor kuda bernilai RM400,000; minuman beralkohol bernilai RM3 juta; aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta serta aktiviti perjudian yang dianggarkan kira-kira RM20 juta.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di antara 2016 hingga 2020 di mana dana sukuk yang diluluskan berjumlah kira-kira RM1.35 billion melibatkan penyelewengan tuntutan palsu yang bernilai kira-kira RM360 juta dan RM416 juta serta pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.
“Projek lebuh raya yang bernilai RM1.67 billion ini juga gagal disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan dan siasatan juga menumpukan isu rasuah bernilai RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan membantu membuat pengaliran wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek,” katanya.
Azam berkata, hasil tuntutan dana yang diseleweng ini dipercayai turut digunakan dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Kata beliau, bagi menyeleweng dana-dana berkenaan, pihak-pihak terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis (layering).
“Sehingga kini SPRM belum mengambil keterangan Tan Sri kerana beliau masih berada di wad di salah sebuah hospital swasta dan hari ini pegawai siasatan akan mendapatkan pengesahan daripada doktor berkaitan status kesihatan Tan Sri sebelum dirakamkan keterangannya.
“Sementara itu, jumlah keterangan saksi sehingga hari ini masih kekal dengan 45 orang dan saksi-saksi yang telah diambil keterangan sebelum ini telah dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut,” kata beliau.
Sementara itu, Azam turut menjelaskan pasukan siasatan juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah Tan Sri di dalam serta luar negara termasuk di London dan Switzerland.
Selain itu, beliau turut memberitahu, siasatan kini tertumpu kepada nilai sebenar minuman alkohol mewah dalam simpanan Tan Sri dengan kemungkinan wang berkenaan telah dipindahkan ke akaun-akaun lain.
Pada masa yang sama, notis pengistiharan harta juga telah diserahkan kepada Tan Sri dan pihak yang berkaitan. – WILAYAHKU