Berita

Penyasaran subsidi RON95 selari prinsip ihsan

SUBSIDI bersasar adalah satu langkah yang tepat untuk memastikan tiada pembaziran sumber negara.
- Diterbit 18 November 2024 4:27 PM MYT

PENYASARAN Subsidi dan Tanggungjawab Sosial Salah satu isu yang dibangkitkan dalam Belanjawan 2025 ialah penyasaran subsidi yang lebih bersasar. Subsidi untuk elektrik, diesel dan petrol akan disesuaikan supaya lebih memberi manfaat kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

Ini bermakna subsidi hanya akan disalurkan kepada 85 peratus (%) rakyat yang berada dalam kategori berpendapatan rendah dan sederhana manakala golongan berpendapatan tinggi akan menanggung kos tanpa subsidi. Memberi pandangan terhadap perkara itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Siti Aisyah Samudin berkata dari perspektif syariah, langkah ini selari dengan prinsip keadilan dan ihsan (al- ’adl wal ihsan).

“Dalam Islam, keadilan menuntut agar bantuan diberikan berdasarkan keperluan dan bukan kelebihan. Oleh itu, subsidi yang bersasar ini adalah satu langkah yang tepat untuk memastikan tiada pembaziran sumber negara dan golongan yang memerlukan mendapat hak yang sewajarnya.

“Bagaimanapun, pelaksanaan penyasaran subsidi ini perlu dipantau rapi agar tidak menjejaskan golongan yang berpendapatan rendah. Sistem pengagihan subsidi
juga perlu telus dan menekankan kebajikan rakyat, selaras dengan semangat maqasid syariah yang berusaha untuk memelihara kesejahteraan umat.

“Oleh itu, penting bagi kerajaan untuk mengadakan mekanisme pemantauan yang berkesan, seperti menggunakan teknologi digital untuk memastikan subsidi hanya disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.

“Sistem verifikasi yang telus dan tidak membebankan adalah kunci dalam menjayakan usaha ini, supaya ketirisan dapat dikurangkan dan kebajikan rakyat
lebih terjamin. Selain itu, kerajaan juga perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat untuk memastikan penyasaran subsidi mencapai sasarannya,” ujar beliau.

Sementara itu, menurut Pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Governan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Islam Melaka, Muhammad Ilhamuddin
Arsad, menerusi penglibatan komuniti, penyasaran subsidi dapat dilakukan dengan lebih tepat dan efektif.

“Menerusi pendekatan yang bersifat lebih holistik ini akan memastikan bahawa bantuan tidak hanya bersifat sementara, tetapi juga menyumbang kepada
peningkatan kualiti hidup dan pengurangan kadar kemiskinan secara menyeluruh.

“Belanjawan 2025 baru-baru ini jelas menunjukkan usaha kerajaan untuk membawa perubahan dan penambahbaikan yang komprehensif sama ada dari segi
ekonomi, sosial mahupun reformasi institusi.

“Dari perspektif syariah dan undang-undang banyak langkah yang diperkenalkan selaras dengan prinsip keadilan, amanah dan kebajikan rakyat. Namun begitu,
untuk memastikan kejayaan pelaksanaan belanjawan ini, ia memerlukan komitmen dan usaha berterusan daripada semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta
dan rakyat secara keseluruhannya.

“Keadilan sosial dan kesejahteraan yang diimpikan hanya dapat dicapai jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan berpegang kepada nilai-nilai murni yang diajarkan dalam Islam,” ujar beliau.

Tambah Muhammad Ilhamuddin, langkah-langkah seperti penyasaran subsidi yang lebih tepat, reformasi perundangan, pembangunan industri halal dan kerjasama awam-swasta adalah antara elemen penting yang dapat membantu mencapai matlamat ini.

“Menerusi kerjasama yang baik antara semua pihak dan komitmen yang kukuh, kita dapat merealisasikan visi kesejahteraan untuk semua selaras dengan prinsip-prinsip syariah yang menekankan keadilan, kebajikan dan pembangunan berterusan,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas