NASIB penyampai radio 3 Pagi Era, Radin, Nabil Ahmad dan Azad Jasmine hanya akan diketahui selepas siasatan dalaman selesai.
Ketua Strategi Astro Radio, Rizal Sahimy, berkata buat masa ini mereka masih lagi direhatkan bagi memberikan peluang kepada mereka menenangkan minda sebelum hasil siasatan diperolehi.
“Siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah pun selesai, sekarang ini hanya babitkan siasatan dalaman.
“Tapi status tiga penyampai radio bersama dua lagi pekerja radio hanya dapat diketahui selepas siasatan dalaman selesai.
“Siasatan dilaksanakan dari semua sudut dan menyeluruh supaya insiden sama tidak berulang,” katanya yang ditemui pada majlis Iftar @ Masjid Zayan FM dan Era FM di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya, semalam.
Nabil, Azad dan Radin dihujani kecaman selepas video seolah-olah mempersendakan agama Hindu membabitkan mereka tular di media sosial.
Susulan kejadian itu, ketiga-tiga penyampai Era FM itu digantung tugas buat sementara waktu selain syarikat pengendali stesen radio berkenaan, Maestra Broadcast Sdn Bhd dikenakan kompoun RM250,000.
Rizal menambah, Astro Audio kini sedang menyusun atur strategi untuk memulihkan kembali imej stesen radio itu yang tercalar.
Bagaimanapun, tiada prosedur operasi standard (SOP) baru diperkenalkan. Tetapi pemantauan lebih ketat akan dilaksanakan.
“Tiada keperluan untuk tambah SOP, kerana yang sedia ada pun dah memadai. Cuma kami akan membuat pemantauan yang lebih ketat,” katanya.
Pada 4 Mac lalu, MCMC telah diarahkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular tiga penyampai radio ERA, yang dilihat sedang mempersendakan upacara agama lain.-WILAYAHKU