INTEGRITI merupakan salah satu prinsip utama dalam ajaran Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah SAW dalam urusan pekerjaan dan kepimpinan pada zaman awal Islam.
Menuurut Perunding Pembangunan Sumber Manusia, Mohd Shaiful Roseman, Rasulullah SAW dikenali sebagai al-Amin bermaksud yang sangat dipercayai, menunjukkan betapa pentingnya integriti dalam setiap aspek kehidupan baginda sekali gus memperlihatkan keperibadian luhur dalam urusan pekerjaan dan kepimpinan, sentiasa menunjukkan kejujuran, amanah, ketelusan yang menjadi contoh teladan bagi umat Islam.
“Sejarah Islam mencatatkan banyak contoh di mana integriti dalam pekerjaan menjadi kunci kejayaan bagi umat Islam dalam menubuhkan masyarakat yang adil dan sejahtera.
“Sebagai contoh, pada zaman Khulafa al-Rasyidin, para khalifah seperti Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali menunjukkan integriti yang tinggi dalam pentadbiran mereka. Khalifah Umar Al-Khattab khususnya dikenali kerana ketelusan dan keadilan dalam pemerintahannya. Beliau sering melakukan pemeriksaan terhadap pegawai-pegawai kerajaan untuk memastikan mereka menjalankan tugas dengan jujur dan amanah,” katanya kepada Wilayahku.
Menjelas lanjut, Mohd Shaiful berkata konsep amanah dalam Islam berkait rapat dengan integriti dalam pekerjaan yang berkait rapat dengan prinsip moden tatakelola yang menjadi tunjang kecemerlangan negara.
“Dalam era moden ini, prinsip integriti yang terdapat dalam ajaran Islam dapat diterapkan untuk menangani isu-isu seperti rasuah, penipuan dan penyalahgunaan kuasa di tempat kerja.
“Dengan menekankan pentingnya kejujuran, amanah dan ketelusan, umat Islam dapat membantu membentuk budaya kerja yang lebih beretika dan bertanggungjawab.
Pendidikan dan kesedaran mengenai nilai-nilai ini perlu ditingkatkan untuk memastikan ia diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya. Beliau menjelaskan walaupun terdapat persamaan antara integriti menurut perspektif Islam dan nilainilai integriti dalam sistem etika profesional barat, terdapat juga perbezaan yang ketara.
“Integriti dalam Islam bukan sahaja melibatkan kejujuran dan amanah tetapi juga berkait rapat dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
“Ini menjadikan integriti dalam Islam lebih menyeluruh dan mendalam kerana ia melibatkan tanggungjawab kepada Tuhan, diri sendiri dan masyarakat,” katanya.
Mohd Shaiful berkata umat Islam yang bergelar pekerja wajar menekuni pengajaran dan ketelusan dalam sistem pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab serta perlu menjadi contoh dalam pembentukan budaya integriti dalam organisasi moden hari ini.
“Ketelusan dalam pentadbiran beliau seperti pemeriksaan terhadap pegawai kerajaan dan pengurusan kewangan yang telus, boleh dijadikan panduan untuk meningkatkan integriti dalam organisasi moden,” katanya.
Menurut beliau dalam keadaan semasa masyarakat yang semakin materialistik dan berorientasikan keuntungan, prinsip-prinsip Islam mengenai integriti mungkin menghadapi cabaran.
“Semua pihak menekankan pentingnya kejujuran, keadilan dan ketelusan. Umat Islam dapat mengatasi cabaran ini dan memastikan nilai-nilai integriti terus diamalkan.
“Pendidikan dan kesedaran mengenai nilai-nilai ini perlu ditingkatkan untuk memastikan ia diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Tambah beliau, sebagai seorang pekerja Muslim, kepentingan untuk mengintegrasikan nilai-nilai kejujuran, keadilan dan ketelusan dalam pekerjaan untuk mencipta perubahan positif dalam masyarakat dan tempat kerja perlu diberi penekanan.
“Dengan mencontohi teladan Rasulullah SAW dan para sahabat, pekerja Muslim dapat membantu membentuk budaya kerja yang lebih beretika dan bertanggungjawab, yang akhirnya akan membawa kepada kejayaan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. Menurut Mohd Shaiful, dalam landskap politik dan pentadbiran, isu integriti dan amanah terus menjadi topik perbincangan yang hangat malahan turut ditekankan berikutan isu tatakelola menjadi fokus Kerajaan MADANI dalam melahirkan rakyat yang berintegriti.
“Kita sedia maklum bahawa isu penyalahgunaan kuasa sehingga berlaku rasuah adalah berakar daripada masalah integriti. Ia juga berlaku kerana sanggup menggadaikan nilai dan prinsip sebagai orang Islam sehinggakan mengamalkan rasuah yang sememangnya menjadi kesalahan di dalam Islam.
“Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 27 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya),” katanya.
Tambah Mohd Shaiful, menerusi ayat tersebut, ia jelas bahawa kesalahan berkaitan dengan integriti ini dilakukan secara sedar dan mereka mampu mengelak sekiranya mempunyai rasa takut kepada Allah.
“Janganlah kerana hendak merasa lebih daripada orang lain atau mahu bermewah, sanggup mengetepikan larangan Allah.
“Kita juga perlu sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa menjaga integriti ini amat besar ganjarannya. Dan jika integriti dipelihara, seluruh organisasi akan baik.
“Jika ada dalam kalangan pemegang amanah sanggup menggadaikan larangan Allah dan khianat terhadap kewajipannya, maka seluruh organisasi ini akan rosak sekali gus memberikan kesan negatif kepada orang lain juga,” katanya. – WILAYAHKU