Berita

Penubuhan secara rasmi Task Force Pengurusan Pokok Berisiko Kuala Lumpur

- Diterbit 26 Jun 2024 4:35 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan penubuhan dan Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pokok Berisiko Kuala Lumpur secara rasmi yang pertama semalam.

Menurut Zaliha, Task Force diwujudkan bertujuan mengkolobrasikan aspek-aspek penyelidikan, pengetahuan, aplikasi teknologi dan kepakaran dalam bidang pengurusan pokok teduhan di Bandar Raya Kuala Lumpur.

“Selain DBKL selaku peneraju, mesyuarat ini turut melibatkan beberapa kluster keanggotaan termasuk para akademik daripada Universiti Putra Malaysia, Institut of Lanscape Architecs Malaysia (ILAM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), badan profesional seperti Persatuan Arboris Malaysia dan beberapa agensi Kerajaan termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Landskap Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Kuala Lumpur dan diperluaskan kepada beberapa NGO aktivis alam sekitar.

“Perkongsian ilmu dan maklumat dari keanggotaan ini akhirnya diharapkan dapat menghasilkan satu garis panduan yang lebih komprehensif serta mengambil amalan terbaik dari negara-negara lain dalam penyelenggaraan dan pengurusan pokok teduhan di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zaliha, ia juga dapat membantu dalam perkongsian data bagi menambah baik sistem pemetaan e-pokok sedia ada di DBKL dalam merekodkan data inventori pokok, daftar pokok berusia, penanaman pokok baru dan kerja-kerja penyelenggaraan pokok dan kini telah pun merekodkan sebanyak 236,551 batang pokok-pokok yang ditanam diseluruh Kuala Lumpur.

“Menyedari bahawa menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk pemaju, swasta, NGO dan komuniti dalam memelihara alam sekitar, perbincangan task force ini juga meneroka konsep “pengangkatan pokok” dan potensi untuk menubuhkan satu tabung dana amanah kawasan hijau bagi menggalakkan perkongsian awam-swasta melalui pendekatan whole-of-nation.

“Ia bagi meningkatkan kompetensi landskap hijau di samping mengekalkan peratusan kawasan hijau di Kuala Lumpur sebagaimana disasarkan oleh Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040,” ujarnya.

Zaliha turut menegaskan Task Force itu juga perlu meneliti pelan penggantian pokok dengan memberi fokus kepada Program Penanaman 1 Juta Pokok di Kuala Lumpur dan memberi perhatian kepada faktor-faktor seperti spesis pokok, ruang penanaman pokok, kedalaman akar dan yang lainnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas