Berita

Penubuhan Kilang Peluru perkukuh keupayaan strategik Malaysia

- Diterbit 7 Februari 2025 5:32 PM MYT

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penubuhan Kilang Peluru Ketech Asia di Lipis, Pahang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Beliau berkata, selain itu turut berperanan untuk memperkukuhkan keupayaan strategik Malaysia dalam sektor pembuatan amunisi dan sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber luar.

“Merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi penghargaan Ke Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, atas limpah perkenan Baginda berangkat bercemar duli ke Majlis Perasmian Kilang Peluru Ketech Asia di Lipis, Pahang, pada semalam,” katanya.

Menurut Saifuddin lagi, dengan sokongan berterusan dari semua pihak, Malaysia akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang mempunyai teknologi pertahanan yang moden dan berdaya tahan.

Semalam, Sultan Pahang bertitah kilang peluru automasi tinggi pertama negara di Lipis, Pahang yang akan beroperasi sepenuhnya pada bulan depan dapat membangunkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Sultan Abdullah bertitah, kilang yang diusahakan Ketech Asia Sdn Bhd (Ketech Asia) mampu mengeluarkan 60 juta butir peluru setahun bagi setiap kaliber itu, juga mampu menaikkan nama negara khususnya Pahang di peringkat antarabangsa.

Sultan Pahang turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang boleh mendatangkan pelbagai manfaat melabur di negeri ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas