Berita

Penolong Pengarang Berita Hiburan BH Raja Nurfatimah Mawar meninggal dunia

- Diterbit 22 Jun 2025 7:30 PM MYT

SATU kehilangan besar kepada dunia kewartawanan hiburan tanah air, Penolong Pengarang Berita Hiburan (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, disahkan meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang, hari ini.

Allahyarham, 49, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2 petang selepas mengadu sakit badan dan mengalami kesukaran bernafas.

Pemergian wartawan berpengalaman lebih tiga dekad itu mengejutkan ramai pihak, termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan dalam industri seni.

Jenazah Allahyarham telah dibawa ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat dan dijangka akan dikebumikan di kampung halamannya di Kuala Terengganu.

Menurut laporan Berita Harian, pembantu rumahnya, Khusnul Khotimah, 23, berkata Allahyarham telah mengadu tidak sihat sejak dua minggu lalu dan sering meminta ditemani kerana takut tinggal bersendirian.

“Keadaan arwah hari ini nampak lebih teruk. Pagi tadi, dia mengadu sakit badan dan minta saya urutkan. Sekitar jam 1 tengah hari, saya cuba suapkan air, tetapi dia muntah semula dan kelihatan semakin lemah.

“Saya panik dan keluar rumah untuk minta bantuan. Saya maklumkan kepada pengawal keselamatan sebelum jiran datang membantu,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah.

Raja Nurfatimah memulakan kerjaya kewartawanan sebagai wartawan sambilan di Biro Berita Harian Kuala Terengganu pada usia 18 tahun, sebelum menyertai Harian Metro sebagai wartawan tetap.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai unit termasuk berita, jenayah dan hiburan di kedua-dua akhbar arus perdana itu.

Sebagai wartawan hiburan, Allahyarham dikenali dengan penulisan eksklusif dan berani, termasuk laporan mengenai penderitaan penyanyi veteran, Sahara Yaacob, yang hidup menumpang di stor.

Pada tahun 2017, Allahyarham menerima Anugerah Penulis Pojok Terbaik di Anugerah Kecemerlangan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) menerusi artikel bertajuk Beginikah Perilaku Penggiat Seni dalam ruangan Desas Desus BH. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas