SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited untuk menjalankan siasatan mengenai projek 1Bestarinet secara profesional dan adil bagi semua pihak yang terlibat.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki susulan kenyataan YTL Power International Bhd (YTL Power) yang menjelaskan pihaknya telah diberikan projek 1Bestarinet melalui proses tender terbuka dan menepis tuduhan salah laku.
Menurut Azam, dalam menjalankan siasatan tersebut, SPRM akan mematuhi proses yang sewajarnya.
“Kami juga akan mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh YTL.
“Pada masa ini, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan, kerana siasatan ini melibatkan pertikaian teknikal berkaitan penyampaian projek antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan YTL Communications,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Azam memberitahu, SPRM akan berusaha untuk mempercepatkan siasatan ini sebaik mungkin.
“Memandangkan siasatan masih berlangsung, kami menyeru semua pihak untuk tidak membuat spekulasi,” katanya.
Terdahulu YTP Power memaklumkan tender tersebut diberikan apabila bidaan pihaknya adalah yang paling mematuhi teknikal dan efektif dari segi kos berbanding kalangan 18 pembida, menunjukkan keupayaan dan merit syarikat.
YTL Power menjelaskan anak syarikat 60 peratus miliknya, YTL Communications Sdn Bhd akan terus memberikan kerjasama penuh kepada SPRM yang menjalankan siasatan berkaitan perkara itu.
SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.
Difahamkan, siasatan itu bermula selepas SPRM membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL di ibu negara, pada 4 September lalu. – WILAYAHKU