Berita

Penjawat awam perlu kuasai pengetahuan digital

- Diterbit 22 Januari 2024 5:17 PM MYT

USAHA melengkapkan penjawat awam dengan pengetahuan digital perlu diutamakan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat, penglibatan penjawat awam dalam program pembelajaran dalam talian ‘AI Untuk Rakyat’ yang dilaksanakan sebagai panduan kepada agensi kerajaan bagi memacu agenda digital merupakan langkah positif ke arah menjayakan inisiatif itu. 

“CUEPACS merasakan penglibatan penjawat awam dalam program ini akan memberi kesan positif serta nilai tambah yang baik kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Teknologi AI atau kecerdasan buatan merupakan suatu bidang yang mesti dikuasai oleh penjawat awam kerana ia mampu meningkatkan kecekapan dalam memproses sesuatu data selain memberi impak besar kepada pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan dalam pelbagai cara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Selain itu, Adnan berkata sebagai kumpulan yang melaksanakan dasar kerajaan, penjawat awam bertanggungjawab mendahului apa juga inisiatif yang dibawa kerajaan termasuk AI Untuk Rakyat selain menyeru semua ketua jabatan memastikan masa yang sesuai disusun bagi kakitangan melengkapkannya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz melalui pekeliling bertarikh 17 Januari 2024, mengarahkan penjawat awam menyelesaikan program pembelajaran dalam talian itu demi memastikan peningkatan kesedaran mereka terhadap penggunaan teknologi termaju.

Menurut surat edaran berkenaan, perkara itu terpakai untuk semua penjawat awam pada peringkat kementerian, jabatan, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa berkanun Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ia boleh diakses melalui laman sesawang www.ai.gov.my dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, serta Tamil dan ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ‘AI Aware’ dan ‘AI Appreciate’. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas