Berita

Penjawat awam perlu hayati maksud kemerdekaan

WARGA kota membawa bendera Malaysia melintasi Bangunan Sultan Abdul Samad.
WARGA kota membawa bendera melintasi Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai semangan menyambut hari kemerdekaan yang bakal tiba.
- Diterbit 13 Ogos 2020 7:29 AM MYT

PENJAWAT awam perlu menghayati maksud kemerdekaan dan menerapkan semangat kemerdekaan sebagai tanda rasa cinta kepada negara, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata dalam melaksanakan tugasan masing-masing, semangat patriotisme harus dipupuk dan sentiasa mekar dalam diri penjawat awam.

“Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang bukan sekadar gimik tetapi memberi ingatan kepada perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan.

“Kemerdekaan bermakna kita bebas untuk mencorakkan masa depan, kita tidak perlu terikat atau patuh kepada mana-mana kuasa penjajah yang menentukan apa yang baik sebaliknya pemilihan di tangan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Bersama Penjawat Awam, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Khairul turut menyempurnakan pelepasan konvoi Info On Wheels Merdeka Peringkat Daerah Langkawi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul turut berpuas hati dengan sokongan diberikan penjawat awam apabila menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang bukan sahaja di tempat kerja malahan di rumah masing-masing.

“Teruskan inisiatif kibar Jalur Gemilang di rumah masing-masing, kenderaaan rasmi jabatan kerajaan juga boleh main peranan kibarkan Jalur Gemilang apabila bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Kita bawa semangat bulan kemerdekaan sekali gus menunjukkan solidariti semangat penjawat awam untuk mempertahankan kemerdekaan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas