Berita

Penipuan dalam talian: 183 kertas siasatan dibuka, nilai akaun dibekukan lebih RM222 juta

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 20 Disember 2024 10:00 AM MYT

SEBANYAK 183 kertas siasatan telah dibuka dengan nilai akaun dibekukan berjumlah lebih RM222 juta berkaitan jenayah pengubahan wang haram melibatkan penipuan dalam talian.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu, ia berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2018 sehingga 30 November lalu.

Menurutnya, pada 2018, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka dan nilai akaun dibekukan adalah RM4,630,349.14 manakala 2019 dan 2020 pula menunjukkan jumlah kertas siasatan telah dibuka adalah sama iaitu sebanyak 18 dengan nilai akaun dibekukan masing-masing adalah RM821,154.76 dan RM119,354,637.04.

“Pada 2021, sebanyak 11 kertas siasatan telah dibuka dengan jumlah akaun dibekukan adalah RM3,122,957.80. Pada 2022, sebanyak 31 kertas siasatan telah dibuka dengan jumlah akaun dibekukan berjumlah RM29,370,636.07.

“Tahun lalu menunjukkan peningkatan 100 peratus apabila 62 kertas siasatan telah dibuka dan jumlah akaun dibekukan mencecah RM52,405,377.79.

“Bagi tahun ini sehingga 30 November lalu, sebanyak 33 kertas siasatan telah dibuka dengan jumlah akaun dibekukan bernilai RM12,909,983.05,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Dr RA Lingeshwaran mengenai statistik pembekuan akaun dalam menangani masalah penipuan dalam talian.

KDN menambah, pihaknya melalui Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM bertanggungjawab dalam melaksanakan tindakan pembekuan akaun bagi kes-kes siasatan jenayah pengubahan wang haram yang hanya melibatkan kesalahan-kesalahan berat termasuk kes penipuan dalam talian.

“Sebagai contoh bagi sesuatu kes penipuan dalam talian yang melibatkan jumlah mangsa yang ramai dan kerugian yang dihadapi adalah besar, tindakan pembekuan akaun di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 atau Akta 613 akan dikenakan bagi mengesan aliran wang haram hasil daripada penipuan tersebut,” katanya.

Jelasnya, tindakan pembekuan ini sangat membantu pihak polis terutamanya bagi menyekat aliran keluar kewangan haram daripada disembunyikan atau dilupuskan selain memastikan penjenayah tidak dapat menikmati hasil daripada jenayah penipuan yang dilakukan.

Selain itu katanya, tindakan pembekuan yang pantas dapat menjaga kepentingan mangsa dan wang mangsa mungkin boleh dipulangkan.

Oleh yang demikian kata KDN, kebergantungan terhadap tindakan pembekuan akaun di bawah Akta 613 semata-mata untuk menangani masalah penipuan dalam talian dilihat bukan langkah menyeluruh memandangkan ia lebih kepada asset recovery.

“Sehubungan dengan itu, kerjasama daripada pihak berkepentingan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan sebagainya adalah amat penting bagi membantu KDN serta PDRM memerangi masalah penipuan dalam talian ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas