DAKWAAN bahawa ekonomi negara tenat adalah tidak berasas dan bercanggah dengan data rasmi.
Demikian tegas Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Dewan Rakyat, Lee Chean Chung mengenai gambaran menyeluruh prestasi makroekonomi negara dan kedudukan fiskal semasa, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan kewangan awam.

Untuk itu jelasnya fakta telah menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia masih berkembang secara mampan.
“Sebagai contoh, defisit fiskal telah menyusut kepada RM21.9 bilion pada akhir Mac 2025 berbanding RM26.4 bilion tahun sebelumnya. Ini adalah petunjuk bahawa strategi fiskal kerajaan sedang membuahkan hasil.
“Laporan Ekonomi Malaysia, Laporan Kewangan Kerajaan serta agensi penarafan antarabangsa kesemuanya mengiktiraf pemulihan fiskal yang beransur kukuh. Naratif bahawa ekonomi sedang merosot tidak mengambil kira hakikat bahawa pemulihan sedang dilaksanakan dengan penuh disiplin meskipun dalam persekitaran global yang mencabar,” jelasnya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya ini berkata kerajaan memberi tumpuan terhadap peningkatan hasil secara progresif melalui perluasan asas cukai, pemerkasaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), peningkatan keupayaan kastam dan pengurusan hasil bukan cukai secara lebih cekap.
“Selain itu, pengoptimuman perbelanjaan pembangunan dan operasi dikaji semula secara berkala untuk mengelakkan ketirisan, penggandaan fungsi serta memastikan nilai untuk wang (value for money).
“Akta Audit Negara telah dipinda dan kini Jabatan Audit Negara telah boleh mengaudit 1856 syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Kesemua mereka akan diaudit menggunakan kecerdasan buatan (AI).
“Sementara itu, dari segi fiskal, Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang telah digubal akan menetapkan had dan kerangka fiskal jangka sederhana agar disiplin fiskal dapat dikekalkan,” katanya.
Tambah Chean Chung langkah seterusnya termasuk memperluas digitalisasi sistem hasil dan perolehan kerajaan serta mengkaji semula subsidi secara bersasar agar bantuan sampai kepada yang memerlukan tanpa membebankan fiskal negara.
“Kerajaan mengekalkan prinsip konsolidasi fiskal tanpa kemudaratan sosial. Ini bermakna sebarang rasionalisasi bajet tidak akan menjejaskan bantuan kepada rakyat terbanyak.
“Sebaliknya, kerajaan memfokus kepada pendekatan penyusunan semula dan penyasaran semula, bukan pemotongan secara membuta tuli. Sebagai contoh, subsidi pukal sedang digantikan dengan subsidi bersasar manakala program bantuan seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah) diteruskan dan ditambah baik.
“Bajet pembangunan juga kekal sebagai keutamaan khususnya dalam infrastruktur asas, pendidikan dan kesihatan demi memastikan pertumbuhan jangka panjang dan kesejahteraan rakyat tidak terkorban,” katanya.
Mengulas lanjut, kata beliau kerajaan akan memperkukuh komunikasi awam berasaskan fakta, data dan ketelusan melalui beberapa langkah.
“Pertama, penyebaran maklumat secara berkala melalui Laporan Kewangan Berkala (Quarterly Fiscal Report), penjelasan langsung oleh menteri dan pegawai kanan melalui sidang media dan sesi Parlimen serta penambahbaikan visualisasi dan bahasa laporan supaya mudah difahami rakyat biasa.
“Kerajaan juga bekerjasama dengan ahli akademik, pakar ekonomi dan masyarakat sivil untuk memperluas kefahaman terhadap dasar-dasar ekonomi dan fiskal negara.
“Pengurangan defisit yang berlaku kini bukan hasil langkah sementara tetapi hasil permulaan kepada pembaharuan struktur yang lebih luas contohnya kajian semula sistem subsidi supaya lebih bersasar, memperluaskan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan reformasi percukaian, Pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal dan penstrukturan semula perbelanjaan operasi secara berperingkat oleh badan berkanun dan GLC supaya bakal memberikan dividen lebih kepada kerajaan.
“Semua ini adalah pendekatan jangka sederhana hingga panjang yang bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal tanpa mengorbankan pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial,” kata beliau.
Katanya komitmen kerajaan adalah jelas yang mana ketelusan fiskal ialah asas kepada kepercayaan awam.
“Jabatan Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan kini sedang memperkukuh penyediaan laporan berkala yang lebih terperinci dan disertakan penjelasan ringkas mengandungi grafik, indikator utama dan trend perbandingan antarabangsa. Ia diterbitkan secara dalam talian dalam bentuk interaktif serta perbincangan yang lebih telus dan mendalam dengan ahli-ahli Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi dan Kewangan,” jelasnya. – WILAYAHKU