“KALAU betul ada terima aduan peniaga menjual lesen perniagaan tapak bazar Ramadan kepada pihak ketiga, kita ada ruang untuk orang ramai memberikan aduan secara langsung”.
Demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa ketika menjawab dakwaan Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) kononnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) gagal menangani beberapa isu yang timbul membabitkan bazar Ramadan di ibu negara termasuk jualan semula tapak lot.
Tegas beliau, dakwaan sedemikian boleh disalurkan terus kepada DBKL atau melalui ADU@KL atau juga kepada KL Strike Force.
“Saya tak pasti kenapa kenyataan seperti itu (dakwaan PPPBWPKL) dikeluarkan, atas dasar apa? Sebab mungkin sebelum ini persatuan yang melaksanakan, dalam usaha program-program bazar Ramadan mereka yang dipertanggungjawabkan.
“Kita ada beberapa minggu lagi sebelum berdepan Ramadan. Bagi pihak DBKL, kita di peringkat akhir memuktamadkan peniaga-peniaga di bazar Ramadan.
“Alhamdulillah setakat ini tinggal 20 ke 30 peratus yang belum terisi dan selainnya kita buka kepada mereka yang berminat untuk berniaga di musim Ramadan ini termasuk bazar Aidilfitri,” katanya kepada media selepas menyempurnakan perasmian Karnival Sukan Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Noridah Abdul Rahim; Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Nasir Ali dan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh.
Terdahulu PPPBWPKL mendakwa pihaknya menerima aduan ada tapak-tapak dijual kepada pihak yang kedua ataupun pihak ketiga.
Zaliha menambah, pihaknya sudah tentu akan mengambil tindakan tegas jika berlaku peniaga menjual lesen perniagaan mereka kepada pihak lain.
Katanya, ini bertepatan dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini supaya membatalkan lesen perniagaan peniaga berkenaan.
“Setakat ini kita belum terima apa-apa aduan kerana kita masih (dalam proses) memuktamadkan, tetapi kalau betul ada, sudah dengar-dengar, maka kita pasti akan ambil tindakan tegas,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya bersama agensi kerajaan terlibat termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau harga jualan di bazar-bazar Ramadan dan Aidilfitri nanti. – WILAYAHKU