MESKIPUN zaman masa kini dalam arus kemodenan, seni anyaman bakul takiding suku kaum Kadayan terus diperjuangkan oleh seorang wanita warga emas agar kraf tradisional itu tak lapuk dek zaman.
Takiding merupakan salah satu kraf tangan yang menjadi identiti bangsa tanpa mengira apa jua bangsa sekalipun. Takiding menjadi kraf tangan yang dijadikan sebagai alat untuk mengangkut barang dan ini telah menjadi amalan oleh semua puak seperti kaum Kadayan, Dusun dan Iban di Borneo termasuklah Labuan.
Pengusaha Kraf tangan Tradisional, Nuria Moksin, 63, berkata penat atau bosan tidak pernah membayangi dirinya kerana dia nekad untuk memartabatkan tradisi itu supaya ia tidak hilang begitu sahaja.
Ujarnya, ilmu dalam membuat anyaman yang dipelajari sejak remaja daripada ibunya itu amat sebati dengan jiwanya dan boleh memberikan satu kepuasan kepadanya.
“Masa dahulu, semua benda perlu dibuat dengan tangan sendiri jika memerlukannya seperti bakul anyaman ini kita perlu buat sendiri untuk kegunaan sendiri.
“Zaman dahulu tidak seperti sekarang yang boleh dibeli di mana-mana kedai atau pasar raya. Disebabkan kemudahan zaman dahulu tiada, di situlah keperluan ilmu anyaman membuat bakul takiding menjadi perkara wajib dipelajari oleh kaum wanita,” ujarnya kepada Wilayahku di rumah kediaman di Kampung Kilan.
Tambahnya, dari segi pembuatan kraf tangan takiding adalah sama sahaja seperti takiding yang dibuat oleh suku kaum lain. Namun yang membezakan adalah dari segi rupa bentuk takiding itu sendiri mengikut tradisi kaum-kaum tertentu.
“Takiding kaum Kadayan ini mempunyai keunikan tersendiri kerana reka bentuk takiding itu sendiri lebih runcing dan menggunakan kayu rotan sebagai satu alat untuk mengukuhkan lagi ketahanan bakul tersebut.
“Proses pembuatan takiding ini tidak mengambil masa yang panjang untuk menyiapkannya. Ini tergantung kepada diri sendiri (pengusaha) dan tidak ditetapkan berapa lama untuk menyiapkan takiding.
“Adakalanya mengambil tempoh menyiapkan dengan jangka masa yang pendek jika ada si pembeli telah menempah. Takiding besar mengambil masa lima hari untuk disiapkan, manakala takiding kecil hanya mengambil masa tiga hari,” katanya.
Ujarnya, bakul tersebut pada zaman dahulu digunakan untuk pelbagai keperluan sama ada untuk menyimpan hasil kebun dan sebagainya namun pada masa ini keperluan itu diubah suai dan divariasikan dalam pelbagai bentuk dan saiz mengikut peredaran zaman.
“Sekarang bakul ini banyak fungsi, ada yang dijadikan sebagai hantaran, bakul buah-buahan, tempat letak barangan dapur dan ada juga yang dibentuk untuk dijadikan hiasan,” ujarnya yang turut menghasilkan pelbagai bentuk variasi bakul anyaman dan beberapa kraf tangan berasaskan kulit kerang yang dijadikan sebagai sebagai cenderahati.
Bercerita lanjut mengenai perniagaannya secara sambilan itu, Nuria berkata dengan hasil jualan bakul anyaman dapat memberikan pendapatan tambahan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan dia dan suami, 73, yang kini menghidap penyakit kronik dan hilang kemampuan.
Ujarnya, selain menghasilkan bakul takiding seperti berbentuk beg sandang, dia turut membuat pelbagai bakul anyaman seperti mini bakul untuk digunakan cenderamata dan dulang anyaman mengikut kehendak pelanggannya.
“Setiap produk yang saya hasilkan dijual dengan permulaan harga sekitar RM7 hingga ke RM100 untuk bakul anyaman dan kraf tangan kerang sahaja mengikut jenis dan corak anyaman.
“Untuk harga bakul anyaman takiding pula harga bermula RM130 ke atas kerana pembuatan takiding yang saya hasilkan menggunakan kayu rotan yang mana bahan tersebut boleh diperolehi di Sabah sahaja dan ianya menelan kos perbelanjaan yang agak besar berbanding anyaman bakul-bakul lain yang hanya menggunakan anyaman tali plastik.
“Selain itu, bahan plastik anyaman yang kami (pengusaha kraf tangan) gunakan susah didapati di Labuan kerana bahan tersebut perlu diambil di Sabah. Sekiranya saya ke Sabah, barulah saya dapat membeli bahan tersebut dan adakalanya saya meminta pertolongan rakan-rakan pengusaha untuk membeli bahan itu.
“Disebabkan untuk mendapatkan bahan tersebut agak memakan masa dan modal, menyebabkan industri kraf tangan di Labuan ini tidak dapat dikembangkan,” ujarnya.
Ibu kepada lapan orang anak itu berkata sejak 2020 hingga kini dia hanya aktif mengikuti program jualan sahaja seperti penganjuran program kerajaan untuk mempromosikan produk kraftangannya susulan kekangan dari segi pengangkutan dan tidak mempunyai keupayaan menyewa kedai atau lot untuk mengembangkan perniagaannya.
Ujarnya, dia melihat industri kraf tangan di Labuan ini mempunyai potensi yang besar dan sering menerima permintaan tinggi daripada pelanggan tempatan mahupun luar Labuan namun kadar penglibatan pembuatan kraf tangan anyaman tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan sedia ada.
“Permintaan itu sentiasa ada lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya program- program besar seperti Borneo Art Festival baru-baru ini di mana saya memperolehi ratusan ringgit daripada hasil jualan kraf tangan dalam tempoh dua hari sahaja.
“Niat untuk membesarkan lagi perniagaan kraf tangan ini memang ada, namun saya tidak berkemampuan kerana harus menjaga suami saya yang kini sedang telantar sakit,” ujarnya. – WILAYAHKU