Berita

Pengurusan kes tangguh perintah tolak permohonan lucut hak wang UMNO Pekan 20 Nov

- Diterbit 23 Oktober 2020 8:06 AM MYT

MAHKAMAH Tinggi di sini menetapkan bulan hadapan untuk pengurusan kes permohonan pendakwaan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah, yang menolak permohonan untuk melucut hak wang UMNO Bahagian Pekan (UMNO Pekan) berjumlah RM700,000.

Wang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada parti politik tersebut, dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan didakwa dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Abdul Rashid Sulaiman memberitahu Bernama, pihaknya menerima email daripada pendaftar Mahkamah Tinggi petang semalam, memaklumkan bahawa pengurusan kes ditetapkan pada 20 Nov depan di hadapan penolong kanan pendaftar Maryam Jamielah Ab Manaff.

“Pengurusan kes ini ialah untuk permohonan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang tolak permohonan lucut hak (wang RM700,000) UMNO Pekan,” katanya menerusi Whatsapp hari ini.

Pengurusan kes itu yang sepatutnya ditetapkan hari ini di hadapan Maryam Jamielah, telah dilapangkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, yang berkuat kuasa 14 hingga 27 Okt ini.

Dalam permohonan penangguhan itu, pihak pendakwaan menamakan UMNO Pekan dan 40 individu lain sebagai responden, termasuk Najib serta anaknya Datuk Mohd Nizar, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan.

Pada 17 Sept lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang UMNO Pekan, selepas mendapati SPRM selaku pemohon gagal membuktikan bahawa wang RM700,000 yang disita itu, adalah hasil daripada aktiviti haram.

Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir antara lain berkata kesemua responden menyatakan jumlah RM700,000 telah digunakan untuk perbelanjaan utiliti, pembelian peralatan dan pembayaran lain untuk UMNO Pekan dan baki dalam akaun UMNO Pekan tidak berasal daripada akaun Najib yang dibekukan.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwa raya mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pada sidang akhbarnya sebelum ini berkata, permohonan pelucutan hak mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) telah difailkan terhadap 41 responden, untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB dan dipindahkan daripada akaun bank Najib. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas