SEORANG pengunjung bertuah hari ini menerima hadiah motosikal daripada syarikat e-hailing MyCar di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
Hadiah motosikal berjenama Modenas Kriss, 110 cc telah disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Datuk Noor Sheena Maideen bersama tetamu khas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu petang tadi.
Menurut Sheena, ini kali ketiga MyCar berada di MAHA dan sangat bersyukur dapat memberikan hadiah kepada pengunjung bertuah di MAHA.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pemandu MyCar yang banyak menyokongnya dan bertungkus-lumus menaikkan balik MyCar.
“Insya-Allah suatu hari nanti MyCar akan jadi perkhidmatan e-hailing nombor satu di Malaysia.
“Saya juga janji pemandu e-hailing akan buat terbaik dan kita dari segi harga dan kebajikan akan jaga,” katanya pada sidang medianya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Sementara itu, Mohamad Sabu berterima kasih kepada pemandu-pemandu MyCar yang memberi khidmat sepanjang berlangsungnya MAHA 2024 sehingga hari ini.
Beliau menjangkakan lebih ramai pengunjung menggunakan e-hailing MyCar malam ini dan sehingga Ahad.
“Saya yakin malam ini lagi hebat. Jadi tentu pemandu MyCar akan memberi khidmat sampai orang terakhir keluar dari MAHA,” katanya.
MyCar di MAHA 2024 dipilih menjadi kenderaan e-hailing rasmi untuk MAHA.
Pada hari terakhir MAHA 2024, dua penyanyi tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Ramli Sarip akan membuat persembahan pada malam ini dan esok malam.
MAHA 2024 berlangsung selama 12 hari bermula 11 September hingga Ahad ini. – WILAYAHKU