PENGUATKUASAAN Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 atau Akta 852 yang akan ditingkatkan pada tahun ini merupakan salah satu instrumen paling signifikan bagi menangani masalah merokok dalam kalangan rakyat yang masih lagi di tahap membimbangkan.
Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ng Yee Guan berkata, ia penting bagi mewujudkan kerangka undang-undang yang kukuh untuk melindungi kesihatan awam.
Malah katanya, ia juga memupuk kesedaran dalam kalangan perokok dan masyarakat umum tentang kesan buruk tabiat merokok.
“Akta ini bertujuan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pelanggaran peraturan larangan merokok, sekali gus mendidik orang ramai tentang tanggungjawab bersama menjaga persekitaran bebas asap rokok.
“Walaupun bukanlah satu-satunya mekanisme, ia sememangnya salah satu instrumen yang paling signifikan,” katanya kepada Wilayahku.
Tambahnya, keberkesanan sangat bergantung kepada tahap penguatkuasaan berterusan oleh pihak berkuasa yang dilihat agak lemah ketika ini.
Selain itu katanya, ia perlu mendapat sokongan masyarakat umum dalam mematuhi peraturan, yang tidak ketara kelihatan.
Beliau berkata, sebarang perundangan yang diperkenalkan akan ada kelemahan dan tidak akan dapat memuaskan hati semua.
Tegasnya, perlu untuk melihat semula hak yang diperuntukkan di dalam perlembagaan namun untuk memperkasakan lagi Akta 852, antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah mekanisme penguatkuasaan.
“Bagi memastikan larangan merokok dikuatkuasakan, jumlah pegawai atau anggota penguat kuasa yang diperlukan dalam pemantauan amatlah tinggi meliputi seluruh negara. Adalah tidak efisien menumpukan kepada sumber manusia khusus untuk memantau pelanggaran larangan merokok.
“Kita perlu memikirkan aplikasi dan penggunaan teknologi, contohnya kecerdasan buatan (AI) atau aplikasi aduan awam untuk mengoptimumkan proses pelaporan dan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Jelas beliau, antara aspek yang menjadi kerisauan adalah lambakan rokok haram yang mudah didapati.
“Justeru kesungguhan untuk menangani isu rokok ini sering menjadi tanda tanya – apakah sekadar untuk melakarkan imej baik ataupun sebenar-benarnya ada kesungguhan dalam menyelesaikan masalah ini?” soalnya.
Perkara lain adalah pendidikan berterusan dan kempen kesedaran yang berkesan.
“Kita perlu melihat kembali penganjuran program pendidikan dan kempen lalu untuk melihat keberkesanan. Adakah benar-benar efektif? Atau sekadar memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI)?
“Telah banyak kajian di seluruh dunia, adakah data kajian saintifik diambil kira dalam merangka polisi dan strategi? Secara khususnya, apakah terdapat sebarang kaedah alternatif yang telah terbukti kejayaan pelaksanaannya yang boleh diambil kira? Ataupun apakah terdapat pemilihan data (cherry picking) bersesuaian untuk melakarkan imej baik sahaja?
“Melangkaui semua itu, kerjasama holistik merentasi agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta untuk menjayakan program berhenti merokok,” katanya.
Beliau melahirkan kebimbangan apabila usaha dalam menyelesaikan masalah ini nampaknya seperti dalam kepompong sendiri (silo).
Tambahnya, tidak mustahil Malaysia ke arah bebas asap rokok tembakau yang dibakar. – WILAYAHKU