Berita

Pengoperasian IPT semasa PKP kekal seperti pengumuman awal

- Diterbit 12 Januari 2021 11:16 PM MYT

PENGOPERASIAN institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kekal seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu pelajar antarabangsa dibenarkan masuk ke kampus kecuali dari United Kingdom seawal 1 Januari manakala pelajar tempatan seawal 1 Mac depan.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak IPT bagi membolehkan pelajar yang berkeperluan memohon kebenaran merentas negeri atau daerah untuk pulang ke kampus daripada pihak berkuasa.

“Semua pelajar yang telah berada di kampus perlu kekal di kampus masing-masing dan mengikuti pembelajaran secara hibrid. Bagi pelajar lain, pembelajaran bagi semua progam pengajian diteruskan dengan pembelajaran secara dalam talian sehingga tamat PKP,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP mulai 13 hingga 26 Jan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Enam negeri dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan manakala Perlis dan Sarawak dikenakan PKP Pemulihan (PKPP).

Kenyataan itu menyebut semua aktiviti penyelidikan yang melibatkan kemudahan makmal adalah dibenarkan melalui ketua jabatan dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

“Pelajar luar kampus yang menjalani aktiviti penyelidikan perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus daripada IPT masing-masing,” katanya.

Menurut kementerian itu, peperiksaan antarabangsa dan badan profesional dibenar dijalankan di kampus, begitu juga dengan pelajar berkeperluan seperti latihan klinikal, peperiksaan profesional, makmal, studio, amali atau akses Internet.

“Kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu,” katanya.

KPT juga memaklumkan pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT melalui Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6623/6124 atau melayari laman sesawang IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas