Sukan

Penglibatan aktif mahasiswi dalam sukan

PENGLIBATAN mahasiswi dalam sukan mampu melahirkan graduan dinamik dan holistik.
- Diterbit 5 Julai 2025 9:00 AM MYT

USAHA memperkasa penyertaan wanita dalam sukan kampus terus diperhebat menerusi penganjuran UiTM Ladies’ Sports Day.

Inisiatif mingguan anjuran Pusat Sukan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Jawatankuasa Sukan Pelajar, Jawatankuasa Non-Resident (NR) serta kolej kediaman seperti Kolej Mawar, Melati, Seroja dan Anggerik ini memberi ruang eksklusif kepada mahasiswi kampus untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti sukan seperti badminton, futsal, bola tampar, bola keranjang, bola jaring, skuasy dan petanque.

Menariknya, elemen kecergasan turut diterapkan menerusi sesi senamrobik berkala pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan, dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman dalam suasana muzik yang bertenaga dan menyeronokkan.

Menurut Presiden Jawatankuasa Sukan Pelajar, Ain Nazatul Balqis Roslan, program ini diwujudkan khusus untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam sukan dalam suasana yang selamat, bebas tekanan dan menyenangkan.

“UiTM Ladies’ Sports Day bukan sekadar aktiviti riadah mingguan, tetapi satu platform membina keyakinan diri, semangat kesukanan dan jaringan sosial dalam kalangan mahasiswi. Ia juga mewujudkan persekitaran kampus yang lebih inklusif dan sihat dari segi fizikal serta mental,” katanya.

Tambahnya pengecualian pelajar lelaki dalam program ini bertujuan mewujudkan ruang yang lebih selesa dan kondusif untuk pelajar wanita melibatkan diri secara aktif dalam sukan.

“Sebagai nilai tambah, pihak penganjur turut menganjurkan Klinik Belajar Petanque dan Futsal yang menampilkan atlet negara, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Nur Shazreen Munazli, bagi memperkenalkan teknik asas permainan dan memberi pendedahan langsung kepada peserta yang berminat mendalami bidang sukan secara lebih serius.

“Program ini turut disokong oleh Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM yang melihatnya sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran holistik. Ia bukan sahaja membekalkan ilmu teori, malah memberi peluang kepada pelajar mengurus dan melaksanakan program sukan sebenar, selaras dengan keperluan industri.

“Penganjuran program ini melibatkan pelbagai aspek termasuk logistik, promosi, komunikasi dan penyelarasan aktiviti. Ini semua adalah elemen penting dalam pengurusan sukan dan menjadi latihan praktikal terbaik untuk pelajar sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.

Tambahnya kejayaan berterusan Ladies’ Sports Day turut disokong oleh kerjasama strategik UiTM bersama agensi luar dan sektor korporat, yang menyumbang kepada pemindahan ilmu dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup aktif. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas